TERBURU-BURU membuat pukulan dalam situasi genting, perlu diatasi pasangan beregu wanita utama negara, M. Thinaah-Pearly Tan untuk menjadi pasangan digeruni di persada antarabangsa.
Perkara itu disedari pasangan terbabit yang mahu menyulam ketenangan dalam diri mereka, setiap kali beraksi di kejohanan yang disertai.
Menurut Thinaah, ketenangan dalam membuat keputusan arah pukulan yang mahu dilakukan pada kedudukan genting, menjadi satu kekurangan dalam permainan mereka.
Justeru, pemain berusia 26 tahun itu gembira dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Rosman Razak sebagai ketua jurulatih beregu wanita baharu.
“Bagi saya memang gembira kerana jurulatih Rosman yang jadikan saya pemain beregu… dia terima saya selepas saya tidak mahuh meneruskan kerjaya sebagai pemain perseorangan wanita.
“Dengan pelantikannya, saya tidak sabar untuk berlatih di bawahnya, kerana beliau seorang yang tenang dan tidak mudah melatah.
“Sikapnya ini penting untuk diterapkan dalam diri kami untuk menghadapi perlawanan terutamanya dalam situasi dan ketika mata penting kerana kami tidak tenang dan terlalu teruja,” kata Thinaah.
Sambil mengakui setiap jurulatih memiliki kekuatan dan gaya tersendiri, namun Thinaah yakin kekuatan pada Rosman mampu memberi nilai tambah dalam permainan mereka untuk lebih konsisten, selepas ini.
Sebelum ini, BAM mengumumkan Rosman, 48, akan kembali ke pangkuan badan induk badminton negara itu sebagai ketua jurulatih beregu wanita, bermula 5 November ini.
Thinaah bersama Pearly mempamerkan prestasi tidak konsisten sepanjjang 2023 sehingga awal tahun ini, namun mula bangkit dengan corak permainan lebih agresif di Terbuka Indonesia Jun lalu, ketika mereka mara ke suku akhir.
Peningkatan prestasi itu membolehkan mereka berjaya ke perlawanan penentuan pingat gangsa, sebelum tunduk kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun, yang menyaksikan kedua-duanya menangis kecewa terlepas pingat yang menjadi rebutan.
Begitupun, pasangan utama negara itu bangkit dengan aksi lebih garang di Terbuka Jepun Ogos lalu, meskipun akur tersingkir di suku akhir, sebelum memperbaiki prestasi dengan muncul naib juara Terbuka Korea pada awal september.
Pada kejohanan seterusnya, mereka muncul juara Terbuka Hong Kong, naib juara Terbuka Arctic di Finland ke suku akhir Terbuka Denmark.