PENGENDALI Terengganu FC, Badrul Afzan Razali berterima kasih kepada usaha para pemainnya dalam memastikan tiga mata pertama Terengganu FC selepas menewaskan Penang FC 1-0 sekaligus menamatkan kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan.
Skuad Peteh kali terakhir memenangi perlawanan pada Ogos 2024 dan selepas itu mengalami rentetan keputusan yang mengecewakan sehingga menyaksikan mereka berpisah dengan Tomislav Steinbruckner dan Badrul mengambil alih tugasan ketua jurulatih.
“Tahniah kepada pemain kerana berjaya memperolehi tiga mata yang bermakna dan kita akan berehat seketika dan tidak sabar menghadapi perlawanan seterusnya dan berharap dapat kekalkan komitmen ini.
“Gol kemenangan ini sudah pasti akan berikan mood baru buat pemain selepas lapan permainan tidak menang dari Ogos dan harap momentum ini kekal pada perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Badrul juga gembira dengan aksi yang ditunjukkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang pertama kali diturunkan selain memuji sikap kesemua pemainnya yang bermain seperti yang diharapkan.
Namun begitu, dia sedikit terkilan kerana pemainnya gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang namun dia menganggap itu berpunca dari rasa ghairah mahu mencipta kemenangan.
“Kita melakukan empat pertukaran termasuk Rahadi yang pertama kali diturunkan musim ini dan dia memberikan aksi yang baik tanpa bolos dan berharap dia dapat diturunkan pada perlawanan selepas ini namun bukan hanya dia tetapi semua pemain menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan.
“Iya barisan serangan kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal kerana rasa ingin mencipta kemenangan di laman sendiri tetapi satu gol ini sudah cukup bermakna bagi kami,” jelasnya.
Gol tunggal Terengganu dijaringkan Ubaidullah Shamsul pada babak pertama dan kemenangan ini melonjakkan kembali Sang Penyu ke tangga keempat liga dengan 21 mata selepas berakhir 13 perlawanan.