KOMITMEN baik yang ditunjukkan para pemain Penang FC ketika bertemu Terengganu FC masih tidak cukup untuk membawa pulang tiga mata selepas tewas tipis 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Penang FC yang baharu sahaja dibelasah Sabah FC 0-4 di laman sendiri sebelum ini bagaimanapun tampil dengan aksi yang lebih bertenaga sekaligus menerima pujian daripada pembantu jurulatih, Md Saiful Mohammad.

Saiful yang ditemui ketika sesi sidang media selepas perlawanan mengakui memuji semangat yang ditunjukkan para pemainnya meskipun terpaksa beraksi tanpa pemain utama yang dilanda kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Apa yang kita rancang untuk perlawanan ini berjaya dilaksanakan dan pujian buat pemain yang bersungguh-sungguh terutama tanpa pemain utama dan pemain yang menggantikan tempat mereka memberikan komitmen baik cuma masih belum cukup untuk raih tiga mata.

“Kita sudah analisa permainan Terengganu dan dapat jangkakan mereka akan menyerang. Pujian diberikan kepada pemain pertahanan dan penjaga gol yang tampil lebih baik berbanding sebelum ini dan berharap mereka akan terus fokus untuk perlawanan akan datang.

“Kami juga terpaksa mengambil risiko ketika melakukan beberapa pertukaran kerana kami nampak ada perubahan dalam pasukan ketika latihan dan harap pemain dapat kurangkan kesilapan kecil pada perlawanan selepas ini,” katanya.

Gol tunggal Ubaidullah Shamsul pada babak pertama cukup untuk memberikan kekalahan keempat berturut-turut dan rekod tujuh perlawanan tanpa kemenangan buat Penang FC sekaligus menyaksikan mereka kini menghuni tangga kesebelas dengan 11 mata selepas berakhir 14 perlawanan.