KEJOHANAN Cahaya Mata Sarawak Super Series Final yang bakal berlangsung di Stadium Petra Jaya, Sarawak pertengahan November ini, bakal menyaksikan dua atlet, masing-masing seorang lelaki dan wanita dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati yang bakal memenangi maksimum RM8,000.
Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Nurhayati Karim berkata, Super Series final itu menjadi kemuncak kepada lima super series yang telah berlangsung di Johor, Perak, Pahang, Terengganu dan Perlis sebelum ini.
Nurhayati berkata, Cahaya Mata Sarawak Super Series Final yang akan berlangsung 16 hingga 17 November itu, melalui proses persiapan lancar.
“Kejohanan ini mendapat pengiktirafan World Athletic (WA) dan melibatkan atlet yang memiliki ranking tertinggi dari semua super series yang telah berlangsung.
“Sebanyak 10 kategori lelaki dan 10 wanita dipertandingkan pada Super Series Final ini dan sekiranya seseorang atlet itu mengikuti semua Super Series sehingga ke yang terakhir di Sarawak dan berjaya bergelar Olahragawan atau Olahragawati, individu terbabit mampu membawa pulang sekruang-kurangnya hadiah kemenangan RM8,000,” kata Nurhayati, dalam satu sidang media.
Beliau berkata, bagi setiap acara yang dimenangi, seseorang atlet yang mencapai mata tertinggi dalam acara disertai akan memenangi RM1,000 seorang, manakala hadiah kemenangan untuk mereka yang bergelar Olahragawan dan Olahragawati pula, akan memenangi piala pusingan berserta wang tunai RM5,000.
Untuk rekod, hadiah keseluruhan wang tunai melibatkan lima Super Series dan Super Series Final mencecah RM200,000.
Antara tumpuan pastinya terarah kepada perebutan gelaran Olahragawati, antara atlet lontar peluru Nani Syahirah Maryata dan ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli.