SUKAR namun tiada yang mustahil buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan tahun 2024 dalam kedudukan Top 10 dunia.

Biarpun ketinggalan kira-kira 2,000 mata dengan penghuni ranking ke-10 dunia dati Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan, Kai Wun mahu kekal positif memperbaik kedudukan mereka di tangga ke-14 ketika ini.

Menurutnya, percaturannya tidaklah sukar namun tidak boleh dipandang remeh kerana mereka perlu mencatat keputusan baik di Kumamoto Masters Jepun, Masters China dan Jelajah Dunia Akhir (WTF).

Kai Wun berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai memandangkan perbezaan mata tidak terlalu jauh selain beregu utama Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin yang berada kedudukan ke-11 dunia, sudah mengumumkan persaraan.

Prestasi Man Wei Chong-Tee Kai Wun sepanjang 2024, paling konsisten pernah ditampilkan.

“Mungkin kami sasarkan untuk berada dalam kedudukan 10 ke 12. Memang ada peluang kerana mata pun tidak beza terlalu jauh selain ada satu beregu (Lee Yang-Chi Lin) yang bersara, jadi kami akan naik (ranking).

“Buat masa ini, kami hanya sasarkan untuk berada dalam kelompok 10 teratas. Bagaimanapun, jika mahu dapatkan undian lebih baik (di kejohanan) perlu naik ke ranking kelapan dan ke atas tetapi itu mungkin tahun hadapan,” katanya.

Impian Wei Chong-Kai Wun mungkin dapat ditunaikan sekiranya mereka konsisten melayakkan diri sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir ataupun separuh akhir dalam tiga kejohanan yang bakal disertai selepas ini.

Dalam pada itu, Kai Wun juga berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang mereka tampilkan musim ini, terutamanya ketika melakar kejutan muncul naib juara pada kejohanan Terbuka Indonesia Jun lalu.

Selain muncnul naib juara Terbuka Indonesia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melangkah ke suku akhir dalam enam kejohanan sepanjang 2024.

“Memang kita ada buat perubahan sedikit dengan corak permainan pun sudah semakin bagus dan lebih konsisten berbanding dulu. Kami perlu kekal (mara) ke suku akhir, mungkin lagi baik jika ke separuh akhir atau akhir.

“Memang kita mahukan kejuaraan tetapi tidak boleh beri tekanan pada diri sendiri. Jika kami terlalu mahukannya, kadang-kadang tidak dapat dan kemudian permainan semakin merudum, itu kami tidak mahu,” ujarnya.

Pasangan itu juga enam kali melangkah ke suku akhir, iaitu Terbuka Switzerland, Perodua Masters Malaysia, Terbuka Jepun, Hong Kong, China dan Arctic.