PELUMBA Prima Pramac Racing, Jorge Martin semakin menghampiri gelaran juara dunia MotoGP apabila mengungguli perlumbaan Sprint dengan pencabar utama, Francesco Bagnaia terkeluar apabila terjatuh di selekoh kesembilan Litar Antarabangsa Sepang Petronas.
Dalam perlumbaan dramatik itu, Martin yang memulakan perlumbaan di petak kedua berjaya memintas Bagnaia yang bermula di petak hadapan ketika selekoh pertama dan tidak menoleh kebelakang untuk memenangi perlumbaan 10 pusingan itu.
Ketika saingan memasuki pusingan ketiga, Bagnaian yang sedang mengejar Martin terjatuh dan gagal menyudahkan perlumbaan sekaligus menyaksikan jurang mata antara kedua-dua pelumba menjadi 29 mata menjelang perlumbaan utama pada Ahad.
“Terima kasih Malaysia. Ini adalah satu perlumbaan yang menakjubkan dan sukar buat saya. Selepas melihat Pecco terkeluar, saya hanya mengawal perlumbaan, kekalkan fokus dan dedikasikan kemenangan ini kepada Wilayah Valencia namun esok adalah hari yang paling penting,” katanya selepas perlumbaan.
Tempat kedua menjadi milik Marc Marquez manakala pemenang GP Malaysia tahun lalu, Enea Bastianini melengkapkan kedudukan podium yang disaksikan puluhan ribu peminat yang membanjiri litar.
Bagnaia nyata kecewa dengan keadaan ini apabila dilihat memerlukan sedikit masa bertenang sebelum dia kembali ke pit sambil disambut prinsipal pasukan yang turut berkongsi rasa tidak percaya atas kegagalan dia menamatkan perlumbaan di saat yang genting.
Martin akan bergelar juara dunia pada Ahad sekiranya dia berjaya mencatat sembilan mata lebih dari Bagnaia dengan senario paling mudah adalah jika dia memenangi perlumbaan utama, Bagnaia perlu berada di luar podium untuk dia menamatkan musim gemilang sebagai juara.