HAJAT pelumba negara, Khairul Idham Pawi untuk kembali berlumba dalam Grand Prix MotoGP Malaysia tidak kesampaian apabila terpaksa diketepikan selepas mengalami patah tangan ekoran pelanggaran sesama sendiri ketika sesi kelayakan Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

SuperKip terpaksa membayar harga yang tinggi apabila cubaannya mengelak jentera rakan sepasukan, Helmi Azman yang terjatuh dihadapannya di selekoh kelapan mengakibatkan dia juga terjatuh dan mengalami kecederaan yang teruk di tangan dan kaki.

Helmi bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan berlumba dalam perlumbaan 15 pusingan meskipun akan memulakan aksi dari petak ke-29 selepas melakukan catatan masa 2 minit 07.554 saat.

Khairul Idham Pawi bakal terlepas saingan Moto2 selepas disahkan mengalami patah tangan

Ketika kejadian, Khairul Idham sudahpun berjaya melakukan masa sepusingan dan cuba memperbaiki kedudukan dari tempat ke-30 namun nasib tidak baik menimpa pelumba berusia 26 tahun itu.

Pengurus pasukan Petronas MIE Racing RW, Razmin Masli Abdul Razak mengesahkan perkara berkenaan dengan perlumbaan esok hanya akan menyaksikan kelibat Helmi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Khairul Idham patah tangan selepas ujian imbasan sinar X yang disahkan di pusat perubatan litar tetapi untuk kaki, kami masih perlu buat ujian CT Scan tetapi Helmi tidak apa-apa, cuma kecederaan biasa dan berharap dia dapat teruskan aksi seperti biasa esok,” katanya mengenai keadaan kedua-dua pelumbanya.

Helmi Azman akan menjadi pelumba tunggal negara di Grand Prix MotoGP Malaysia

Dalam sesi kelayakan itu, pelumba OnlyFans American Racing Team, Jorge Navarro dan Marcos Ramirez mengungguli kedudukan petak pertama dan kedua manakala pelumba Red Bull KTM Ajo, Celestino Vietti melengkapkan barisan hadapan.