PENYERANG Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Asraff Aliffuddin berazam memberi sumbangan terbaiknya pada aksi Liga Super menentang Sabah FC petang ini.

Pemain berusia 25 tahun itu telah menunjukkan persembahan cemerlang bersama KDNFC II dalam Piala MFL dengan merekodkan 4 jaringan gol dan assist namun masih belum menemui sentuhan jaringan untuk Liga Super.

Menurut Asraff, dia mengintai peluang untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama setelah beberapa pemain utama tidak dapat beraksi kerana penggantungan perlawanan serta kecederaan.

Justeru, Asraff mahu memanfaatkan peluang dengan sebaiknya jika diberikan peluang oleh Ketua jurulatih, Park Jaehong untuk beraksi di laman rumah Sabah FC, Stadium Likas.

Antara pemain-pemain utama KDN FC.

“Saya kena berusaha gigih untuk tersenarai kerana ini peluang terbaik setelah ketiadaan pemain seperti Layth yang digantung.

“Bukan mudah untuk rebut tempat apabila persaingan sangat sengit sebelum ini tetapi saya yakin jika tersenarai saya mampu memberi sumbangan terbaik kepada pasukan,” ujarnya di kenyataan rasmi KDN FC.

Pada masa yang sama, Asraff menyedari Sabah bukan lawan mudah kerana kelab bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berada pada momentum terbaik dengan kemenangan berterusan serta merekodkan 13 jaringan gol pada 3 perlawanan terakhir.

“Kami sudah berlatih dengan baik. Kami sama-sama membantu diantara satu sama lain untuk memperbaiki kelemahan sekaligus menambah mutu permainan. Saya harap kami dapat mengekang Sabah dan cuba mendapatkan gol untuk menekan pemain lawan di hadapan penyokong mereka sendiri,” tambahnya.