PEMEGANG hak eksklusif dan penganjuran MotoGP, Dorna sedang dalam perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan Barcelona untuk menganjurkan pusingan kemuncak musim 2024 di Litar Catalunya yang berada di bandar kedua terbesar Sepanyol itu.

Perkara ini disahkan Ketua Pegawai Sukan Dorna, Carlos Ezpeleta dalam satu kenyataan di Litar Antarabangsa Sepang Petronas selepas MotoGP pada Jumaat menyatakan mereka tidak akan menganjurkan perlumbaan di Valencia dari 15 hingga 17 November 2024 susulan banjir buruk di wilayah berkenaan yang sudah mengorbankan 214 nyawa.

Litar Catalunya di Barcelona bukanlah asing di kalangan pelumba apabila menjadi litar ujian selain menjadi tuan rumah bagi Grand Prix Catalunya dalam kalendar tahunan MotoGP.

Litar Catalunya di Barcelona berkemungkinan diumum pengganti GP Valencia

“Kami sedang melihat kepada semua kemungkinan yang ada, ia sangat mencabar untuk menganjurkan acara dalam dua minggu tetapi dalam tempoh 48 jam sebelum ini, kami sudah melihat kepada kemungkinan yang ada.

“Pada kami, Barcelona adalah venue terbaik kerana ia hampir dengan Valencia, selain memikirkan ramai peminat yang singgah di Barcelona terlebih dahulu sebelum ke Valencia dan kami rasakan ianya adalah tempat terbaik selain lebih mudah untuk kami membantu komuniti Valencia dari lokasi.”

Ezpeleta juga menjelaskan pihaknya, sudah menghubungi pihak kerajaan tempatan di sana dan sedang menunggu maklum balas.

“Mereka mahu berkomunikasi dan bersama dengan pihak kerajaan Sepanyol dan juga Valencia sebelum mengesahkannya dan harap pengesahan dapat dilakukan dalam tempoh 48 jam.

“Namun keperluan utama sekarang ini adalah apa yang terjadi di Valencia bukannya mengesahkan venue kami. Ia sesuatu yang boleh kami tunggu dan apabila ia disahkan, kami akan melakukan kerja sebaik mungkin,” jelasnya.

Kejuaraan MotoGP memasuki tempoh genting dengan Jorge Martin dan Francesco Bagnaia hanya dipisahkan 24 mata selepas berakhir Grand Prix Malaysia dan venue terakhir ini akan menjadi medan penentuan kejuaraan musim 2024 ini.