TARIKH 18 April 2022 pastinya akan dikenang dalam lipatan sejarah Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila tiga kelab dari Asia Tenggara berjaya menewaskan lawan masing-masing dari Korea Selatan.

Segala-galanya bermula pada sebelah petang di dua lokasi berbeza di Thailand apabila juara Liga Thailand, BG Pathum Thani berjaya mencatat kemenangan ke atas juara Piala FA Korea, Jeonnam Dragons 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pathum Thani.

Satu lagi perlawanan di Buriram, pendatang baharu Lions City Sailors melakar kejutan apabila membenam Daegu FC 3-0. Ini adalah keputusan yang diluar jangkaan tetapi pemenang tempat ketiga Liga Korea Selatan ini perlu menerima kekalahan kepada juara Liga Singapura itu.

 

Pada sebelah malam pula, kira-kira 2,200 kilometer dari Buriram, Iskandar Puteri pula menyaksikan satu lagi kejutan dari kelab Asean apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan penguasaan dengan membenam naib juara Liga Korea, Ulsan Hyundai 2-1.

Tiga kemenangan dari kelab Asean ke atas kelab Korea Selatan ini adalah indikator bahawa bola sepak Asia Tenggara semakin berkembang dan sudah meningkat corak dan kualiti permainannya.

Ketiga-tiga kelab ini juga dilengkapi dengan fasiliti yang baik dan kini mereka dapat menuai hasilnya. Oleh itu, tidak mustahil kelab Asean mampu menjadi kuasa besar dalam Liga Juara-Juara AFC akan datang.