MISI  ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, menjadi indeks petunjuk prestasi utama (KPI) buat Rosman Razak, ketika kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat kali ketiga.

Rosman yang mula melatih skuad beregu wanita kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini, selepas bersetuju dengan ‘lamaran’ Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky.

“Sudah tentu saya tidak boleh lari dari memastikan Pearly (Tan) dan (M) Thinaah ke LA2028 dan tugas ini tidak mudah kerana saya juga perlu merapatkan jurang pemain pelapis dan beregu lain dengan gandingan utama.

“Saya tertarik dengan misi ini dan dapat rasakan cabaran ini tidak senang, namun kepercayaan terhadap kemampuan saya, itu menjadikan tawaran ini menarik,” kata Rosman, ditemui di ABM hari ini.

Rosman Razak tertarik dengan peranan yang diberikan kepadanya, terutama merapatkan jurang antara pemain remaja dengan Pearly Tan-M Thinaah.

Rosman yang akan dibantu Ching Kai Feng melatih beregu senior dan Amelia Anscelly (beregu remaja), kini mempunyai lapan pasangan termasuk gandingan nombor 7 dunia, Pearly-Thinaah.

Kehadiran Rosman bermakna, urusan tertangguh iaitu penilaian pemain untuk dimasukkan mahupun disingkir dari akademi itu, akan mula dilakukan.

“Dalam beregu ini, saya perlu pastikan ‘partnership’ betul-betul sesuai baru boleh tahu siapa berada di ranking pertama hingga 8. Bagi saya sedikit masa kerana kebanyakan mereka pemain remaja dan masih ada dari akademi yang akan dinaikkan ke skuad kebangsaan.

“Untuk penilaian ini, saya tidak mahu pemain memikirkan sangat soal ‘partnership’ sebaliknya tumpukan kepada kemajuan individu.”

Rosman Razak memberi taklimat kepada pemain beregu wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari pertama kembali bersama skuad kebangsaan.

Tambah Rosman, sesi latihan amat penting termasuk sikap dan karektor kerana bagi saya pemain remaja tetap bermula dengan kosong,” ujar Rosman lagi.

Justeru, Rosman memberitahu  beliau memerlukan masa sehingga hujung tahun ini, sebelum memutuskan struktur baharu pemain beregu wanita di ABM.

“Saya mahu setiap pemain tahu matlamat mereka ketika menjalani latihan. Jika mereka hanya datang berlatih tanpa tujuan, dua jam latihan pun akan jadi sia-sia. Arah tuju yang jelas sangat penting dalam membina mentaliti juara,” katanya.