PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, memanfaatkan cuti berkualiti untuk menenangkan diri di Tanah Suci, membawa kedua-dua ibu bapanya bersama dalam perjalanan istimewa kali ini.

Bagi Shah Firdaus, yang telah lama terikat dengan jadual ketat sebagai atlet, kesempatan kali ini dianggapnya sebagai “healing” yang terbaik untuk memperkukuh hubungan dengan Tuhan dan mendapatkan restu daripada kedua ibu bapanya.

Shah Firdaus turut mengakui bahawa cuti kali ini sangat berharga kerana dia jarang memperoleh masa rehat yang benar-benar berkualiti akibat komitmen tinggi dalam bidang sukan.

“Secara jujurnya saya memang susah untuk dapatkan cuti yang berkualiti dan saya rasa kali ini adalah tempat healing yang paling seronok untuk saya melihat balik diri saya,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika ditemui di KLIA2. 

Menurutnya lagi, Selama ini dia terlalu memberi fokus kepada latihan dan pertandingan sehingga jarang dapat memperkukuhkan aspek rohani. Namun, pengalaman di Tanah Suci membuka ruang untuknya mendekatkan diri kepada Tuhan. 

“Saya harap doa yang saya minta nanti dapat menjadi panduan untuk next competition saya nanti,” katanya lagi.

Lebih manis lagi, pelumba kelahiran Muar, Johor itu turut membawa kedua ibu bapanya dalam perjalanan ke Tanah Suci, satu impian yang akhirnya tercapai bagi dia sekeluarga.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kiri), bersama Muhammad Ziyad Zolkefli (tengah) dan Datuk Abdul Latif Romly (kanan).

“Saya dapat bawa ibu dan ayah saya ke Tanah Suci yang kita tahu doa ibu bapa ni tiada hijabnya dan pergi ke tanah suci sekali bersama mereka insyaallah dengan berkat doa mereka membantu saya dalam kerjaya sukan saya Insyaallah,” tambah Shah Firdaus.

Muhammad Shah Firdaus dan keluarga berangkat ke Tanah Suci pada Selasa, sebagai sebahagian daripada rombongan Umrah Juara Dunia yang ditaja Ikhlas.com dan AirAsia.