PASUKAN remaja wanita kebangsaan buru penampilan kedua di Piala Dunia Hoki Remaja Wanita, dalam kempen Kejohanan Remaja Piala Asia 2024 di Oman, bulan depan.

Young Tigress yang beraksi kali pertama di Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, mahu melayakkan ke kejohanan utama itu secara merit, tahun hadapan.

Pengendali skuad bawah 21 tahun wanita kebangsaan, Lailin Abu Hassan berkata, pemainnya perlu memberi tumpuan penuh kepada sasaran awal untuk menamatkan kempen Kejohanan Remaja Piala Asia 2024 dalam kelompok lima .

“Sudah tentu kita mahu tamatkan dalam kedudukan lima terbaik, kerana lima slot diberikan kepada pasukan Asia dalam kejohanan di Muscat, Oman itu.

“Namun, sasaran awal kita adalah menamatkan aksi kumpulan pada kedudukan dua teratas dalam kumpulan A,” kata Lailin, mengenai sasaran di Oman 7 hingga 15 Disember itu.

Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan India, Bangladesh, China dan Thailand manakala Kumpulan B membabitkan naib juara Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Sri Lanka dan Taiwan.

Jurulatih hoki remaja wanita, Lailin berpuas hati dengan persiapan pasukan sebelum ke Piala Asia.

“Di Oman nanti ada 10 pasukan dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Daripada itu, kita perlu memburu keputusan (di pusingan awal) dalam kelompok dua terbaik.

“Kalau tidak, paling tidak kita kena berada dalam kelompok tiga terbaik dan selepas itu bermain dalam penentuan dan berjuang untuk mendapatkan tempat kelima selepas itu.

“Ranking pasukan kita adalah di tempat kelima sekarang ini. Di bawah kita Taiwan dan Thailand. Kita perlu elak (daripada tewas) dan kita juga tidak mengambil mudah pasukan ini.

“Di Singapura baru-baru ini, saya melihat mereka agak kuat sebab mereka juara pada aksi kelayakan di Singapura. Saya harap pemain akan memberi fokus penuh kepada sasaran untuk layak secara merit,” kata Lailin.

Sebagai persiapan, Lailin merancang beberapa siri perlawanan persabahatan membabitkan pasukan senior kebangsaan dan juga skuad Singapura.

“Kita akan buat perlawanan persabahatan. Apabila skuad penuh (dipanggil) pada 21 November nanti, kita akan buat perlawanan persabahatan dengan skuad senior kita dan pasukan kebangsaan Singapura juga akan turun.

“Mereka akan bermain dua atau tiga perlawanan (persabahatan) sebelum berlepas ke Oman,” kata Lailin.

Ketika ini, 25 pemain berada dalam pasukan dan lima lagi akan digugurkan menjelang kejohanan kerana pasukan hanya dibenar menyenaraikan 20 pemain.

Skuad bimbingan Lailin kali ini, boleh dianggap cukup berpengalaman apabila 10 daripada pemainnya berada dalam skuad senior kebangsaan.

Untuk rekod, pasukan remaja wanita negara beraksi di Piala Dunia Remaja sebagai pasukan jemputan dan menamatkan saingan di kedudukan ke-11 daripada 15 neagra bertanding.

Skuad ini juga akan menjadi pasukan pertama menyarung jersi tajaan Mizuno.