KELAB JOHOR Darul Ta’zim memastikan kepulangan semula Kim Pan-gon ke Malaysia bersama-sama Ulsan HD menjadi mimpi ngeri apabila menewaskan juara baharu Liga Korea itu 3-0 dalam aksi di Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.
Kata-kata bekas pengendali Harimau Malaya itu yang JDT sememangnya sukar ditewaskan di laman sendiri ketika sesi sidang media pra perlawanan menjadi realiti apabila anak-anak buahnya langsung tidak berpeluang menguji benteng pertahanan Harimau Selatan.
Arif Aiman sekali lagi membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik ketika ini apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit kelapan permainan selepas mengambil kesempatan atas kesilapan yang dilakukan pertahanan Ulsan HD.
JDT mengawal sebahagian besar permainan dengan aksi bertenaga dan sering menekan lawan hingga Pan-gon terpaksa melakukan dua pertukaran awal pada babak pertama.
34,236 orang penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim bertambah bersemangat apabila Hector Bidoglio memasukkan Bergson Da Silva menggantikan Jorge Obregon untuk bergandingan dengan Arif Aiman.
Ianya berjaya mengubah dinamik serangan JDT dan Oscar Arribas menggandakan jaringan apabila rembatannya terbias pemain Ulsan dan terus menerjah jaring menewaskan Jo Hyeon-woo.
Seakan tidak puas dengan dua jaringan, JDT menambah sengsara Ulsan dengan gol ketiga menerusi Bergson untuk memastikan kemenangan ketiga keatas Ulsan HD sejak 2022.
Selepas empat perlawanan, Ulsan HD kekal tanpa sebarang kemenangan dan menghuni tangga terbawah manakala JDT naik ke tangga ketiga selepas mencatat kemenangan kedua dan kini mengumpul 7 mata.