PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berterima kasih kepada para pemainnya yang memberikan aksi terbaik ketika menewaskan Ulsan HD 3-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Jurulatih kelahiran Argentina itu juga memuji komunikasi yang ditunjukkan semua pemain di dalam padang terutama apabila kehilangan bola dan memahami filosofi yang dimahukan kelab.
Dia juga gembira kerana mempunyai banyak pemain yang berkualiti dan mampu diturunkan pada bila-bila masa dengan masing-masing tahu cara bermain yang dimahukan dalam perlawanan.
“Sangat gembira dengan semua pemain dan terima kasih kepada pemain. JDT bermain sangat baik, dinamik dan sangat kompak dan saya sangat gembira buat pemain serta para penyokong kerana kami berjaya memberikan mereka mendapat kegembiraan malam ini.
“JDT ada filosofi dengan kami suka bermain di kawasan lawan serta mengawal bola. Jika kami kehilangan bola, mereka perlu dapatkan semula dalam lima saat. Ini penting untuk kekalkan dinamik kerana pemain berkomunikasi baik dalam padang dan kita berjaya tunjukkan kualiti kami di kejohanan ini.
“Kami mempunyai barisan pertahanan yang baik dalam pasukan dan semua pemain tahu cara bermain dan kami bermain secara agresif dan tahu bila hendak menukar corak dan rentak permainan kerana kejohanan ini sangat sukar dan kami tidak mempunyai masa untuk berasa selesa,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Hector turut mengakui dia gembira dengan persembahan Bergson Da Silva dan Jorge Obregon yang dianggap mempunyai kelebihan masing-masing dan apa yang paling penting adalah keserasian di dalam bilik persalinan.
“Bergson dan Obregon adalah dua pemain berbeza tetapi bermain di posisi yang sama dan saya suka dengan kedua-dua pemain ini. Kesemua pemain serangan yang lain juga berkualiti dan atmosfera di bilik persalinan sangat baik dan ini sangat menggembirakan saya,” jelasnya.
Arif Aiman, Oscar Arribas dan Bergson masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan Ulsan HD tewas buat kali keempat dalam tiga tahun di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus melonjakkan kembali JDT ke tangga ketiga peringkat liga Zon Asia Timur selepas selesai empat perlawanan.