DUO pemusnah Johor Darul Ta’zim (JDT),  Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi sekali lagi bergandingan mantap ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Ulsan HD 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Kedua-dua mereka yang ditemui selepas perlawanan mengakui gembira dengan tugasan masing-masing dalam memastikan tiga mata menjadi milik JDT di hadapan ribuan penyokong sendiri seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam liga.

Bergson yang masuk pada pertengahan babak kedua selepas menggantikan Jorge Obregon jelas berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan malah menegaskan tangisan yang berlaku selepas perlawanan adalah secara spontan.

Bergson mempunyai sebab tersendiri mengapa dia mengalirkan air mata

“Sememangnya saya gembira dengan kemenangan yang kami kecapi dan apa yang berlaku sehingga saya menangis kerana banyak perkara yang saya fikirkan dan sebagai pemain bola sepak hanya saya dan keluarga yang memahami.

“Ini kerana apa yang berlaku minggu lepas dan saya enggan bercerita sebaliknya mahu memberi tumpuan bagi perlawanan seterusnya kerana JDT kini berada di landasan terbaik apabila kekal di kelompok lapan pasukan terbaik untuk layak ke Pusingan 16.

“Selepas meledak gol ketiga bagi mengesahkan tiga mata sudah tentu amat mengujakan kerana sebagai penyerang apabila menjaringkan ianya beri kepuasan tapi yang paling utama kami menang dalam satu pasukan,” kata Bergson.

Arif Aiman kini sudah menjaringkan empat gol dari empat perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite

Sementara itu, penjaring gol pertama, Arif Aiman mengakui dirinya amat bertuah apabila beraksi dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan dan membayar kepercayaan ketua jurulatih, Hector Bidoglio dengan jaringan.

“Bukan senang untuk beraksi di peringkat tertinggi terutama dalam saingan ACLE dan peluang itu digunakan sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.

“Sejujurnya saya akui persediaan untuk menghadapi perlawanan yang besar sebegini memerlukan keyakinan pada diri sendiri dan saya bersyukur apabila mampu menjaringkan gol dan kami bermain secara berpasukan yang menjadi kekuatan kami,” jelasnya.

Dalam aksi di hadapan 34,236 orang penyokong itu, Oscar Arribas menjaringkan gol kedua sekaligus memastikan kemenangan 3-0 memihak JDT dan mengejutkan juara Liga K1 Korea yang jelas tenggelam dengan corak permainan skuad Harimau Selatan.