Foto: FB Boling Malaysia
BEREGU boling wanita negara Natasha Mohamed Roslan-Sin Li Jane memastikan kem boling negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih pingat gangsa acara beregu wanita Kejohanan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat awal pagi Selasa.
Menurut laman web Kejohanan Dunia, Natasha-Li Jane mengatasi cabaran sengit pasangan Collombia Juliana Franco-Clara Guerreo dengan kemenangan 235-204, 247-237 di Kompleks Konvensyen Birmingham Jefferson.
Dengan kemenangan itu, kedua-dua pemain terutama Li Jane berjaya melunaskan dendam terhadap Guerrero selepas tewas pada pusingan 16 terakhir perlawanan perseorangan wanita sebelum ini.
Natasha-Li Jaen terlepas peluang merebut pingat emas selepas tewas kepada pasangan Denmark Mika Guldbaek-Mai Ginger Jensen 213-248, 215-225 pada pertembungan separuh akhir pada Isnin.
Sebelum ini, cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki terhenti di suku akhir apabila Muhammad Rafiq Ismail dan Timmy Tan masing-masing disingkirkan wakil Kanada manakala gandingan mereka dalam saingan beregu lelaki terkandas di pusingan 16 terakhir, tewas kepada tuan rumah.
Penampilan terbaik kem tenpin boling negara di Kejohanan Dunia adalah pada edisi Lahti 1997 di Finland, dengan Sharon Low-Daniel Lim merangkul emas acara beregu campuran manakala kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Kaohsiung dengan dua gangsa. -Bernama