TEKA-teki mengenai masa hadapan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee akhirnya terjawab apabila keluar satu kenyataan rasmi yang menyatakan kontrak beliau dilanjutkan sehingga tahun depan.

Mesyuarat khas oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) serta Sabah FC sebulat suara bersetuju untuk memanjangkan kontrak ketua jurulatih berkenaan, sehingga penghujung musim 2024/2025 yang berakhir pada 30 April tahun depan.

Presiden SAFA, Datuk Shahelmey Yahya berkata, keputusan tersebut diambil berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pasukan ketika ini manakala kontrak Pengendali Sabah FC itu sepatutnya berakhir pada 30 November ini.

“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Ong Kim Swee akan dapat memperbaiki kedudukan di carta liga sekali gus lebih bersemangat menghadapi kempen Piala Malaysia pada tahun ini.

Satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan hala tuju Kim Swee.

“Selain itu, pihak pengurusan juga berharap agar lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bagi memberikan sokongan untuk menambah semangat dan keyakinan kepada pemain.

“Ini akan membantu moraliti pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan liga super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi,” ujar Shahelmey menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, FLASH SUKAN ada melaporkan bahawa spekulasi masa depan Kim Swee di Kota Kinabalu akan terjawab apabila pihak pengurusan kelab selesai mengadakan mesyuarat untuk menentukan sama ada khidmatnya masih diperlukan atau tidak.

Dengan khabar ini, rata-rata penyokong Sabah FC boleh menarik nafas lega dan gembira dengan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak atasan Sabah FC.