EOGENE Ewe, menyifatkan kemampuan menempatkan diri dalam kelompok Top 100 sebagai satu pencapaian terbaik tahun ini.

Pemain perseorangan lelaki negara berusia 19 tahun berkata, ranking ke-99 dunia, dicapainya menjadi dorongan penting buatnya untuk tahun hadapan.

“Saya sangat gembira kerana mencapai matlamat ini, dan ini adalah permulaan yang baik untuk perjalanan saya tahun depan,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menurut Eogene, dia berada dalam kondisi terbaik, namun mengakui beberapa aspek dalam permainan perlu diperbaiki, terutamanya selepas beraksi di Masters Indonesia II baru-baru ini.

Eogene Ewe mahu tembus kelompok 32 terbaik dunia.

“Saya masih belum mencapai tahap pemain yang berada di ranking lebih tinggi. Strategi dan kemahiran saya masih perlu dipertingkatkan,” jelasnya.

Eogene tidak terlepas dari tekanan selepas melihat pemain senior digugurkan daripada pasukan, tetapi melihat tekanan itu sebagai sesuatu yang positif untuk memajukan diri.

Eogene kini menyasarkan untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun, di samping menyimpan impian untuk layak ke Sukan Olimpik Los Angeles.

Sebagai anak kelahiran Perak, Eogene berharap agar kejayaan ini menjadi langkah awal dalam mencipta nama di arena badminton dunia.

ABM kini mempunyai hanya empat pemain elit perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan dirinya.