BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali, kini membawa semangat bola sepaknya ke peringkat akar umbi melalui pelancaran akademi Super Safee Soccer School di SMK Taman Melawati, Gombak, pada Ahad.
Dengan visi besar untuk melahirkan bakat-bakat muda setanding nama-nama besar seperti Arif Aiman, Azman Adnan, dan Nizaruddin Yusof, Safee berhasrat menyemai ilmu dan pengalaman berharga kepada generasi muda yang berminat mendalami sukan ini.
Safee menyatakan hasratnya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan berkongsi pengalaman dan ilmu yang dikumpul sepanjang kariernya.
“Saya ingin melahirkan generasi pemain masa depan, mungkin ‘The Next Safee Sali’ yang akan mengangkat nama Malaysia dalam bola sepak,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
SMK Taman Melawati dipilih sebagai lokasi permulaan akademi ini berkat sokongan dan kerjasama daripada pengetua sekolah, Sir Jagdave Singh, yang komited menggalakkan pelajar dalam bidang sukan.
“Saya rasa ini adalah kolaborasi yang sangat baik. Pengetua SMK Taman Melawati memberikan sokongan penuh untuk menjadikan sukan sebagai satu keutamaan untuk para pelajarnya.
“Ini bukan hanya tentang bola sepak, tetapi juga sukan-sukan lain seperti ragbi dan olahraga,” jelasnya.
Akademi ini memberi penekanan besar kepada nilai disiplin, yang menurut Safee merupakan kunci kejayaan dalam apa jua bidang. Disiplin dalam latihan, ketekunan, dan kesungguhan adalah antara nilai teras yang diterapkan kepada pemain muda.
“Saya ingin terapkan kepada pemain-pemain muda ini bahawa disiplin itu sangat penting. Tanpa disiplin, kejayaan sukar dicapai. Saya berharap mereka dapat menghargai nilai disiplin ini, bukan sahaja dalam sukan tetapi juga dalam kehidupan mereka,” ujar Safee.
Selain berkongsi ilmu, Safee turut memberi nasihat kepada generasi muda untuk keluar bermain dan belajar dari pengalaman sosial sebenar, bukannya terlalu bergantung kepada gadget.
Menurut Safee, aktiviti fizikal dan interaksi sosial akan membina daya tahan mental yang diperlukan bagi mengharungi cabaran dalam karier bola sepak.
“Nasihat saya mudah sahaja, keluar dan bermain di luar. Pengalaman bersosial secara realiti itu penting. Jangan terlalu terikat dengan dunia maya.
“Ini akan membantu mereka belajar disiplin, ketekunan, dan cara untuk bangkit daripada kegagalan,” kata Safee yang berharap generasi muda dapat memahami pentingnya keseimbangan dalam kehidupan.
Safee juga menyuarakan harapannya agar program seperti ini mendapat sokongan lebih besar daripada sektor swasta dan pihak kerajaan untuk membangunkan sukan bola sepak di peringkat akar umbi.
Dengan adanya lebih banyak bantuan dan kerjasama, Safee percaya bahawa Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa di masa depan.
“Bola sepak adalah sukan yang memerlukan sokongan besar. Saya berharap selepas ini lebih ramai pihak akan terlibat, sama ada dalam bentuk tajaan atau bantuan teknikal, untuk membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi,” tambahnya.