PERTAHANAN kebangsaan, Harith Haiqal mengakui dia gembira dan teruja dengan kehadiran ramai pemain-pemain yang sebaya denganny di skuad Harimau Malaya kali ini untuk menghadapi Laos dan India dalam aksi persahabatan antarabangsa terakhir tahun ini.

Harith yang melakukan debut bersama skuad kebangsaan bulan lalu ketika menentang New Zealand mahu semua pemain-pemain muda ini menimba seberapa banyak pengalaman yang boleh apabila bersama-sama skuad senior ini.

“Sudah tentu saya gembira dapat bersama lebih ramai pemain-pemain bawah 23 seperti Ubaidullah dan ini bagus untuk mereka mendapat peluang dan mereka sememangnya layak dan akan tunjukkan kemampuan sekiranya diberikan peluang beraksi.

Prestasi baik Harith di kelab kini dituntut skuad kebangsaan

“Satu pengalaman yang cukup baik bersama skuad kebangsaan apabila melakukan debut bertemu New Zealand dan saya rasakan ianya paling berharga serta saya banyak belajar dalam perlawanan itu.

“Saya dapat minit permainan yang baik musim ini dan memudahkan saya menyesuaikan diri dan akan berikan yang terbaik dalam dua perlawanan persahabatan ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Bangkok.

Kapten muda Selangor itu turut mengakui dia teruja sekiranya dapat bergandingan dengan Dion Cools di barisan pertahanan kerana padanya Dion mempunyai ciri-ciri pemain yang baik dan kualiti kepimpinan yang dihormati.

Harith teruja untuk bergandingan bersama Dion Cools sekiranya diberikan peluang beraksi 

“Gembira kalau dapat bergandingan dengan Dion. Dia seorang pemain yang bagus, berkualiti dan mempunyai tahap kepimpinan yang baik. Aura dia akan berikan kelebihan pada perlawanan ini berbanding perlawanan bertemu New Zealand sebelum ini,” jelasnya.

Harith juga tidak mempedulikan kata-kata netizen sebaliknya sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali diberikan peluang beraksi buat mana-mana skuad negara yang disertai.

Malaysia akan berhadapan Laos di Bangkok sebelum bertemu India di Hyderabad dalam dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke Piala Asean Mitsubishi Electric pada Disember dan Kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula Mac 2025.