MANCHESTER United memalukan Liverpool pada aksi persahabatan musim ini dengan kemenangan sensasi 4-0 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.

Anak buah Erik ten Hag menguasai sebahagian besar permainan dan tiga gol terhasil menerusi Jadon Sancho, Fred dan Anthony Martial di babak pertama.

Liverpool beraksi tanpa Sadio Mane yang menyertai Bayern Munich gagal menembusi gawang The Red Devils dan benteng pertahanan kembali dihukum jaringan Facundo Pellistri sehinggalah kedudukan kekal hingga tiupan wisel penamat.

Kehadiran penonton cukup membanggakan apabila dihadiri kira-kira 50,248 peminat sejak petang.

The Reds melepaskan 18 percubaan berbanding United hanya mencatat sembilan, namun daripada lima percubaan tepat empat daripadanya menerjah jaring.

Uniknya, perseteruan kedua-dua pasukan ini juga berakhir ‘bersih’ apabila tiada sebarang layangan kad diberikan.

Pertandingan ini juga merupakan sebahagian daripada jelajah pramusim pasukan sebelum musim Liga Perdana Inggeris bermula bulan depan.

Liverpool akan menuju ke Singapura selepas perlawanan, manakala United terbang ke Melbourne di Australia.