PASUKAN bola sepak India bakal berdepan dengan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan pada 18 November nanti di Stadium GMC Balayogi Gachibowli, Hyderabad.
Pertemuan ini bukan sekadar persahabatan, tetapi satu langkah strategik bagi kedua-dua pasukan yang sedang giat mempersiapkan diri ke arah kempen kelayakan Piala Asia AFC 2027.
Ketua jurulatih pasukan India, Manolo Márquez, menyifatkan perlawanan ini sebagai ujian baik bagi kedua-dua pasukan, yang kini berada dalam persaingan sengit untuk layak ke Piala Asia.
Márquez yang baharu dilantik sebagai ketua jurulatih The Blue Tigers, berharap pertemuan dengan Malaysia ini mampu memberi gambaran lebih jelas tentang persediaan mereka.
Márquez telah menamakan 26 pemain berpotensi untuk perlawanan persahabatan kali ini, termasuk beberapa muka baharu seperti pemain pertahanan Mumbai City FC, Hmingthanmawia Ralte, dan pemain tengah Kerala Blasters FC, Vibin Mohanan. Pemain pertahanan berpengalaman Sandesh Jhingan juga akan kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan ACL.