PEMAIN muda Manchester United, Alejandro Garnacho, menjadi tumpuan selepas dipersoalkan kerana tidak mahu meraikan gol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City di Old Trafford.
Pemain sayap berusia 20 tahun itu menjaringkan gol ketiga dalam kemenangan 3-0 Red Devils melalui sepakan lengkung yang menakjubkan pada minit ke-82, namun enggan menunjukkan sebarang reaksi selepas bola menembusi gawang.
Peristiwa ini timbul selepas Garnacho dikatakan diejek oleh seorang penyokong United sebelum perlawanan Liga Europa sehingga situasi itu menyebabkan Garnacho merasa seperti peminat mula memusuhinya.
Bekas penyerang Liga Perdana Inggeris, Troy Deeney, turut mengkritik sikap ‘kulit nipis’ Garnacho yang mudah tersinggung oleh komen negatif seorang penyokong.
“Pemain zaman sekarang terlalu sensitif, jika perkara ini boleh menjejaskan prestasinya saya sebagai seorang pemain yang lebih senior ingin berkata kepadanya, mungkin bola sepak ini bukan untuk awak, anak muda,” ujar Deeney.
Tambah Deeney, apabila bermain untuk kelab sebesar Manchester United, seorang pemain perlu bersedia menghadapi kritikan sama ada ketika bermain baik atau buruk.
“Kamu bermain untuk kelab terbesar di dunia, ini sebahagian daripada permainan. Itu namanya cemburu, dan kamu harus terima hakikat itu.
“Sikap enggan meraikan gol yang hebat ini mengecewakan saya. Namun, ini akan menjadi ujian penting bagi dirinya.
“Jika dia tidak boleh mengendalikan tekanan daripada seorang penyokong, bola sepak mungkin bukan bidang untuknya,” tambah bekas penyerang Watford itu.
United yang kini berada di bawah kendalian jurulatih baharu Ruben Amorim, akan kembali beraksi pada 25 November menentang Ipswich Town.