PENYERANG Real Madrid, Kylian Mbappe, kelihatan gembira ketika menghabiskan masa bertemu bersama bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi dan Arnau Tenas, sewaktu kembali ke Paris.
Meskipun tidak dipilih untuk menyertai skuad kebangsaan Perancis, Mbappe tetap mengambil kesempatan ini untuk berjumpa rakan-rakannya semasa rehat antarabangsa.
Selepas diketepikan daripada tugasan kebangsaan pada Oktober lalu akibat kecederaan, kali ini Mbappe sekali lagi tidak tersenarai oleh Didier Deschamps untuk aksi Perancis dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah yang akan datang.
Walau bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu kembali ke Paris dan menikmati masa berkualiti bersama rakan-rakannya.
Semasa dia pulang ke Perancis, bintang Madrid ini bertemu semula dengan rakan lama dari PSG, Hakimi dan Tenas.
Mereka bertiga dilihat bermain padel sebelum meluangkan masa bersama bermain permainan video.
Mbappe turut berkongsi beberapa gambar pertemuan tersebut di media sosial Instagram miliknya dengan menulis, “Padel & Friends…. Gabungan Sempurna. Pasukan Biru.”
Selepas rehat antarabangsan ini, Mbappe akan kembali beraksi untuk Real Madrid pada 25 November, di mana mereka akan menentang Leganes dalam perlawanan La Liga di tempat lawan.