SYAHIR Rosdi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam saingan Liga Sepaktakraw (STL) GP Premier tempoh hari menyatakan bahawa dirinya tidak terlalu bergantung dengan gelaran tersebut.

Baginya, kemenangan pasukan Kuala Lumpur (KL) Thunder sebagai juara keseluruhan itu lebih penting dan bermakna, berbanding anugerah MVP yang diterima. Ini menunjukkan semangat berpasukan yang ada pada jiwanya begitu kuat dan dipupuk baik oleh jurulatih.

Tekong negara yang ditemui FLASH SUKAN pada Majlis Penyampaian Trofi STL GP Premier 2024 itu bagaimanapun tetap bersyukur dan menganggap bahawa segala pencapaian merupakan usaha sepasukan.

Syahir Rosdi menerima Anugerah Pemain Paling Bernilai.

“Sebenarnya saya sebagai seorang pemain tidak boleh mengharapkan apa-apa anugerah seperti Pemain paling bernilai ini dan lain-lain. Ini kerana saya lebih fokus kepada kemenangan berpasukan dan saya lebih berharap untuk capai juara pasukan.

“Jadi, anugerah ini adalah satu bonus bagi saya. Walaupun saya dan pasukan sering menerima kecaman daripada para penonton di serata GP, tapi kami berjaya mengambil perkara itu sebagai satu cabaran yang boleh dihadapi,” ujar Syahir.

Sementara itu, pemain terbaik STL GP Premier 2024 tersebut turut menyatakan fokusnya yang beralih kepada saingan STL Champions Cup yang akan bermula esok (Rabu) di Stadium Majlis Bandaraya Serdang Jaya.

Pemain-pemain KL Thunder bergambar bersama selepas menerima trofi kemenangan.

Menurutnya, walaupun pasukan KL Thunder sudah bergelar juara keseluruhan bagi STL lalu, namun kejohanan yang akan berlangsung nanti merupakan misi baharu yang tidak boleh dipandang rendah.

Ia berikutan pasukan kendalian Rosli Ab Rahman itu bakal berhadapan laluan yang agak mencabar dalam Kumpulan A, menyaksikan KL Thunder akan bertemu MGPC Singapore esok bagi saingan pertama kumpulan.

“Saya berharap untuk STL Champions Cup ini, pasukan KL Thunder akan beraksi dengan lebih baik daripada sebelum ini dan dapat mara ke final. Saya percaya kesemua pasukan yang akan berentap nanti bukan calang-calang, namun saya akan beri lebih 100 peratus nanti,” tambahnya.