SATU langkah ke hadapan apabila Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir telah mengadakan perbincangan bersama pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pertemuan antara dua sosok penting bola sepak Malaysia dan Indonesia itu menjadi perhatian daripada segenap penyokong tempatan Malaysia dan negara jiran, berikutan mungkin tercetusnya fenomena baharu dalam arena bola sepak.
Erick yang memuat naik hantaran di laman Instagram peribadinya telah menyaksikan dirinya dan Tunku Ismail berjabat tangan, sekali gus kelihatan mesra dalam pertemuan yang membincangkan hal-hal bola sepak negara Asia Tenggara.
“Bertemu dengan Putra Mahkota Johor, Mayor Jenderal Tunku Ismail Idris Ioni Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab raksasa Malaysia, Johor Darul Ta’zim. Beliau punya visi besar untuk sepak bola Asia Tenggara bahkan Asia.
“Sangat menarik berdiskusi dengan beliau tentang kualiti bola sepak di negara-negara Asia Tenggara. Kami ingin negara di Asia Tenggara boleh bersaing di peringkat Asia bahkan hingga peringkat dunia,” berikutan kapsyen hantaran yang dimuat naik.
Sebelum ini, FLASH SUKAN ada melaporkan mengenai keinginan Erick Thohir dalam melaksanakan pelaburan bersama sama dengan Tunku Ismail, bagi meningkatkan lagi pembangunan bola sepak Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Erick Thohir ajak JDT melabur di Liga Indonesia
Tunku Ismail juga sebelum ini pernah menyuarakan pandangannya bahawa Persatuan Sepak Bola Malaysia (FAM) sangat memerlukan tokoh atau figura seperti Erick Thohir, yang mempunyai jaringan luas di peringkat antarabangsa.