AKSI pembukaan yang mendebarkan dalam saingan Kumpulan A STL Champions Cup 2024 menyaksikan dua pasukan, KL Thunder dan NS Antlers, masing-masing meraih kemenangan 2-0 ke atas lawan mereka dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya.

KL Thunder menunjukkan dominasi penuh menentang MGPC Singapura. Menggunakan trio utama mereka, Syahir Rosdi sebagai tekong, Amirul Zazwan sebagai feeder, dan Azlan Alias sebagai killer, KL Thunder dengan pantas mengatasi MGPC. 

Kesilapan awal dari tekong MGPC, Danish Irfan, memberi laluan mudah kepada KL untuk membuka mata. Syahir cermelang dengan permainan servis-servis tajam, sementara Azlan beraksi mantap dalam serangan, mengukuhkan kedudukan sehingga 11-0.

KL Thunder menunjukkan dominasi penuh menentang MGPC Singapura.

Penukaran pemain oleh MGPC tidak mengubah momentum perlawanan, dengan KL terus menguasai set pertama 15-1.

Set kedua memperlihatkan percubaan MGPC Singapura untuk bangkit, berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada awal permainan. Namun, KL Thunder kembali mengambil alih permainan apabila Zarif Merican bersinar dengan servis yang baik, diikuti oleh rejaman ampuh Redwan Hakim. 

KL Thunder mengakhiri perlawanan dengan kemenangan selesa 15-3, mengambil keseluruhan perlawanan dengan catatan masa 19 minit.

Perlawanan antara NS Antlers dan Garuda Sepak Takraw juga menyaksikan kehebatan dari Negeri Sembilan yang dipimpin oleh tekong kebangsaan, Haziq, di samping feeder Zulefendi dan killer Hafizul.

 Haziq menguasai gelanggang dengan servis rejaman tajam, sementara Garuda mengalami kesukaran dengan kesilapan servis yang berterusan. NS Antlers mendahului dengan jurang yang besar dan mengakhiri set pertama dengan kemenangan 15-3.

Haziq menguasai gelanggang dengan servis rejaman tajamnya.

Set kedua menyaksikan kesinambungan prestasi cemerlang NS Antlers, mendahului awal dengan 4-0. Kehebatan Haziq dalam mengangkat bola untuk peluang serangan Hafizul menambahkan mata penting, sebelum Hafizul digantikan dengan Khairul Aman. 

Walaupun Garuda cuba mengejar dengan beberapa mata lewat, NS tetap mengawal permainan. Khairul Aman melengkapkan kemenangan bergaya NS Antlers 15-8 dalam set kedua, memastikan kemenangan 2-0 dalam perlawanan pembukaan ini.

Dengan prestasi yang meyakinkan, KL Thunder dan NS Antlers mengukuhkan kedudukan awal dalam kumpulan dan bersedia menghadapi perlawanan seterusnya dengan keyakinan tinggi.

Tekong Garuda, Bibi Syahbani cuba mengejar dengan beberapa mata lewat.

Esok (Khamis) KL Thunder dijadualkan berentap dengan Garuda Sepak Takraw, manakala NS Antlers bakal menawarkan aksi menarik menentang MGPC Singapura.