HARI kedua Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 menyaksikan dua pasukan, Selangor Pistons dan Perak Bison meneruskan prestasi cemerlang mereka dengan mencatat kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B.

Pasukan Selangor Pistons, yang dianggotai Zulkifli sebagai tekong, Ariff Daniel sebagai apit kanan, dan Arif Badri sebagai apit kiri, berjaya menunjukkan kehebatan mereka apabila berdepan STFI India Fighters,

Pada set pertama, India Fighters memulakan perlawanan dengan yakin, menjadikan persaingan antara kedua-dua pasukan sengit dan mata saling berkejaran.

Aksi mantap Ariff Daniel 

India Fighters sempat mendahului dengan skor 10-9, tetapi Selangor Pistons pantas bangkit untuk menghalang lawan terus maju.

Ketika Selangor hampir mengesahkan kemenangan, pasukan India meminta Challenge daripada juri. Namun, keputusan berpihak kepada Selangor Pistons dan sekaligus berjaya menutup set pertama dengan kemenangan 15-13.

Set kedua terus menyaksikan keyakinan kedua-dua killer bagi pasukan masing-masing apabila saling membalas serangan dan mempertahankan kedudukan terikat 10-10.

India Fighters memberi saingan sengit.

Bagaimanapun, Selangor Pistons menunjukkan dominasi mereka di penghujung permainan dan berjaya menang dengan skor 15-11, sekaligus memastikan kemenangan kedua mereka di STL Champions Cup 2024.

Berlainan cerita untuk Perak Bison yang dibarisi Kritsada Sungvung sebagai tekong, Aidil Aiman sebagai apit kiri, dan Noraizat Nordin sebagai apit kanan apabila terpaksa berhempas pulas menang 2-1 berdepan Royal Thai Airforce

Mereka yang menampilkan pemain berpengalaman, Siriwat Sakha sebagai tekong bersama Wichan Temkort sebagai apit kiri dan Phutawan Sopa sebagai apit kanan, memberikan saingan yang cukup mencabar kepada Perak Bison.

Pada set pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas mata menerusi kebolehan tekong masing-masing.

Siriwat Sakha cuba menghalang asakan daripada pemain Perak Bison

Phutawan Sopa memperlihatkan kemahiran bertahan dengan dua halangan berturut-turut yang memberi tekanan kepada Perak Bison.

Tekong Perak Bison, Kritsada, kemudian membalas tekanan dengan aksi mantap, menjadikan kedudukan sengit pada 12-12.

Royal Thai Airforce mencabar keputusan juri atas servis tekong Perak, namun gagal. Sebaliknya, challenge Perak Bison selepas itu berjaya, memberikan mereka jarak mata yang diperlukan untuk menutup set pertama dengan kemenangan 15-12.

Pada set kedua, kedua-dua pasukan terus memberikan tekanan antara satu sama lain dimana Perak Bison yang ketinggalan 8-7 menggantikan tekong mereka dengan Hairul Hazizi.

Royal Thai Airforce jelas kecewa apabila challenge mencabar keputusan juri atas servis tekong Perak itu gagal.

Asakan bertali arus dari Royal Thai Airforce berhasil apabila mereka bangkit menang 15-9, mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di set penentuan, Perak Bison menurunkan semula tekong utama mereka, Kritsada, yang memberikan tekanan konsisten kepada pihak lawan.

Aksi cemerlang ketiga-tiga pemain Perak Bison, termasuk sepakan gulung dari Noraizat, memastikan kemenangan di set terakhir dengan skor 15-8.

Noraizat (tengah) membantu Perak Bison menundukkan Royal Thai Airforce

Dengan kemenangan ini, Selangor Pistons dan Perak Bison kekal di landasan terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Mereka akan turun sekali lagi pada hari Jumaat, di mana Perak Bison bakal berdepan Selangor Pistons, manakala Royal Thai Airforce akan menentang STFI India Fighters.