SELANGOR Pistons berjaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Perak Bison dalam perlawanan penentuan juara Kumpulan B STL Champions Cup 2024.
Set pertama menyaksikan Perak Bison berjaya mengawal permainan dengan menurunkan barisan pemain yang mantap memberikan tekanan kepada pasukan Selangor Pistons.
Perak Bison yang dibarisi Aidil Aiman sebagai apit kiri, Treepong Rawangpai di posisi apit kanan, dan Hairul Hazizi sebagai tekong berjaya mengumpul lima mata berturut-turut untuk menekan Selangor Pistons.
Selangor Pistons yang dianggotai Arif Badri sebagai apit kiri, Khairol Zaman sebagai apit kanan, dan Zuhri Zin sebagai tekong, cuba bangkit walaupun ketinggalan.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya mengekang serangan Perak Bison dan merapatkan jurang dengan skor 10-14. Namun, Perak Bison memastikan kemenangan set pertama dengan skor akhir 15-12.
Memasuki set kedua, Selangor Pistons membuat pertukaran tekong dengan membawa masuk Zulkifli yang menggantikan Zuhri.
Hasilnya, Selangor Pistons mula mengawal permainan dengan asakan bertubi-tubi, manakala kesilapan kecil Perak Bison memberi peluang kepada Selangor Pistons untuk menjarakkan diri.
Perak Bison melakukan pertukaran pemain, menggantikan Hairul dan Treepong dengan Kritsada dan Noraizat untuk mencipta strategi baru.
Walaupun Perak Bison cuba bangkit, asakan konsisten daripada Selangor Pistons berjaya memenangi perlawanan dalam set kedua dengan skor 15-9.
Dalam set penentuan, Selangor Pistons membuat satu lagi pertukaran, mengeluarkan Khairol dan menggantikan Ariff Daniel.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan sengit, dan Ariff memberikan sumbangan besar kepada mata Selangor Pistons.
Perak Bison yang pada ketika mendahului dengan skor 10-6, Selangor dengan pantas menggantikan Zulkifli dengan Zuhri kembali sebagai tekong.
Kehadiran Zuhri memberi impak besar apabila servis beliau berjaya menyumbang mata penting pada penghujung permainan.
Selangor Pistons membalas dengan asakan agresif dan memperoleh empat mata berturut-turut, menjadikan kedudukan 10-10.
Dengan kerjasama erat antara Zuhri, Arif Badri, dan Ariff Daniel, Selangor Pistons akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-12.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, India Fighters mempamerkan aksi garang apabila berjaya menundukkan Royal thai Airforce 2-0.
India Fighters mempamerkan aksi garang pada permulaan set pertama, berjaya mengawal permainan sehingga menamatkan set pertama dengan kemenangan 15-11.
Pada set kedua, tekong India yang cedera di set pertama dimasukkan semula, dan dia memainkan peranan penting dalam kebangkitan India Fighters, sekaligus memenangi set kedua dengan 17-14.
Tamat kesemua perlawanan kumpulan B menjadikan Selangor Pistons sebagai juara Kumpulan dengan 17 mata, sementara Perak Bison muncul naib juara dengan 10 mata, diikuti India Fighters dan Royal Thai Airforce.
Menuju peringkat separuh akhir, Selangor Pistons akan berhadapan dengan NS Antlers, sementara Perak Bison dijadualkan bertemu KL Thunder pada Sabtu.