PASUKAN KL Thunder terus membuktikan keunggulan mereka dalam STL Champions Cup 2024 apabila mencatat kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Negeri Sembilan Antlers dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya, malam Jumaat.
Kemenangan ini menobatkan KL Thunder muncul juara kumpulan dan bakal berdepan Perak Bison di separuh akhir.
Diketuai trio utama, Syahir Rosdi, Amirul Zazwan, dan Azlan Alias, KL Thunder menunjukkan prestasi konsisten sejak awal permainan.
Syahir, yang terkenal dengan servis tajamnya, menjadi tunjang pasukan dengan menyumbang lapan mata di set pertama, termasuk servis drop yang memperdayakan barisan NS Antlers.
Meskipun NS Antlers menampilkan pemain bintang mereka seperti Haziq Nizam dan Hafizul Hayazi, mereka sukar mengimbangi serangan bertali arus daripada Thunder, yang menamatkan set pertama dengan kemenangan 15-8 dalam masa 15 minit.
Masuk ke set kedua, KL Thunder memberikan peluang kepada Redwan Hakim, pemain muda yang tampil cemerlang kejohanan kali ini.
Redwan memanfaatkan peluang tersebut dengan menunjukkan aksi luar biasa, termasuk hadangan dan libasan yang sukar dijawab pihak lawan. NS Antlers cuba mengubah rentak permainan dengan memasukkan Amar Roslan dan Khairul Aman, tetapi KL Thunder terus menguasai perlawanan.
Momentum KL Thunder berterusan apabila Zarif Merican masuk menggantikan Syahir Rosdi. Zarif membuktikan kehebatannya sebagai tekong dengan servis ace yang menyudahkan set kedua 15-9 selepas 20 minit permainan.
Dalam perlawanan di sebelah petang Kumpulan A, MGPC Singapura menamatkan kempen mereka dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Garuda Sepak Takraw. Walaupun MGPC tidak layak ke separuh akhir, kemenangan ini memberi sedikit pengubat luka sebelum mereka pulang.
Separuh akhir STL Champions Cup 2024 dijangka berlangsung dengan penuh debaran pada esok (Sabtu).
KL Thunder akan menentang Perak Bison pada jam 5 petang, manakala Negeri Sembilan Antlers akan berdepan Selangor Piston pada jam 8:30 malam.