SKUAD AMD Dream kembali membuka peluang ke peringkat seterusnya selepas menewaskan Hong Kong 4-0 dalam kategori B13 Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 yang berlangsung di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Selepas menang 1-0 pada aksi pertama ke atas kelab dari Indonesia, Asiop Academy, skuad bimbingan Mohd Armi Sharif tewas tipis 1-2 kepada Zhejiang PFC dari China.
Namun kemenangan besar 4-0 ke atas Hong Kong ini memberikan petanda positif khusunya dari segi keyakinan dan prestasi pasukan menjelang perlawanan diperingkat seterusnya.
Bagi Mohd Armi, kemenangan ini membuktikan semangat juang barisan pemainnya yang tidak mudah berputus asa walaupun tewas pada perlawanan sebelumnya.
“Syukur, kemenangan berpihak kepada pasukan, pemain dapat menterjemahkan segala perancangan dan kemenangan bukanlah keutamaan bagi kami tetapi peningkatan prestasi pasukan.
“Kami adalah salah satu pasukan pembangunan, positifnya pemain dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan pada perlawanan kedua khususnya dari segi penyudah untuk menjaringan gol.
“Kalau kita lihat perlawanan pertama dan kedua, kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol namun gagal menghasilkan jaringan. Syukur untuk aksi ketiga ini masalah tersebut berjaya diatasi,” katanya.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan dalam kumpulan yang sama, pasukan dari China, Zhejiang FC menamatkan saingan diperingkat kumpulan dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Asiop Academy, 1-0.
Ketua jurulatih Zhejiang FC, Guo Tianhao berkata, anak didiknya berdepan tentangan yang sengit dari lawan dan berjaya mengatasinya dengan disipilin yang tinggi.