PERTARUNGAN sengit separuh akhir pertama STL Champions Cup 2024 menyaksikan pasukan KL Thunder berjaya menundukkan Perak Bison 2-1 dalam aksi penuh debaran untuk merebut tempat ke final.
Dalam perlawanan yang penuh dengan cabaran dan ketangkasan, kedua-dua pasukan memperlihatkan semangat sepasukan yang luar biasa dengan saling berbalas serangan hingga ke set penentuan.
Permulaan set pertama menyaksikan aksi yang bertenaga dari kedua-dua pasukan dimana apit kanan Perak Bison, Noraizat Nordin, dan apit kanan KL Thunder, Azlan Alias menunjukkan kemahiran sepakan gulung yang luar biasa, menyumbang mata berharga kepada pasukan masing-masing.
Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan untuk mengekalkan jurang mata yang tipis. Namun, ketika kedudukan 14-12, Perak Bison mencabar keputusan juri yang mengatakan servis mereka keluar gelanggang.
Keputusan yang dibuat juri adalah tepat sekaligus menangguhkan seketika kemenangan Perak Bison.
Kesilapan servis dilakukan oleh Syahir Rosdi dari KL Thunder yang keluar gelanggang terus memberi kemenangan set pertama kepada Perak Bison dengan skor 15-13.
Memasuki set kedua, Perak Bison meneruskan tekanan ke atas KL Thunder, yang tidak kenal erti mengalah dan berjaya membalas tekanan kembali.
Noraizat sekali lagi menonjol dengan sumbangan mata yang penting untuk Perak Bison, namun KL Thunder berjaya memanfaatkan kesilapan kecil dari pihak lawan.
Ketika kedudukan 8-8, Perak Bison sekali lagi mencabar keputusan juri yang mendakwa kepala Azlan melepasi garisan net. Hasilnya, challenge itu memberikan Perak Bison mata tambahan.
Ketika penghujung perlawanan set kedua, Perak Bison membuat penukaran dengan memasukkan Tekong mereka Hairul mengantikan Kritsada.
Tidak lama selepas itu, KL Thunder bangkit dengan aksi luar biasa, meraih lima mata berturut-turut untuk memenangi set kedua dengan skor 15-10.
Set ketiga bermula dengan KL Thunder menunjukkan keazaman serta semangat juang yang yang tinggi.
Dalam keadaan terdesak, Perak Bison memasukkan semula tekong utama mereka, Kritsada Sungvung, namun trio KL Thunder, Azlan, Amirul Zazwan, dan Syahir berjaya melancarkan serangan bertubi-tubi hingga meninggalkan Perak Bison dengan skor 7-2.
Penghujung permainan, giliran servis Kritsada pula terkeluar jauh dari gelanggang, sekaligus memberikan KL Thunder meraih mata kemenangan dengan penuh bergaya, menamatkan set penentuan dengan 15-6.
Sementara itu, perlawanan separuh akhir kedua pula mempertemukan Selangor Pistons dan Negeri Sembilan Antlers yang turut berusaha keras untuk menempah slot di perlawanan akhir.
Pada set pertama, Selangor Pistons mendahului dengan gaya garang sehingga mencapai skor 7-3.
NS Antlers sempat mencabar keputusan juri dengan menyatakan kaki pemain Selangor melepasi net, dan challenge itu nyata menyebelahi pasukan mereka.
Usaha mereka untuk mengejar kedudukan Selangor Pistons berjaya apabila dapat menyamakan kedudukan 12-12, namun Selangor Pistons pantas menutup set pertama dengan kemenangan 17-15.
Set kedua menyaksikan NS Antlers mempamerkan kehebatan luar biasa, meraih enam mata berturut-turut di awal permainan.
Selangor Pistons cuba bangkit dengan membuat dua pertukaran, memasukkan Zuhri dan Ariff Daniel, tetapi tekong NS Antlers menunjukkan aksi luar biasa dan terus mencipta mata.
Dalam situasi penuh aksi, NS Antlers berjaya menguasai permainan dan menamatkan set kedua dengan kemenangan 15-9.
Masuk ke set penentuan, kedua-dua pasukan menunjukkan permainan agresif, dengan pelbagai aksi yang ditunjukkan sepanjang permainan.
Di penghujung set, NS Antlers berjaya mendapatkan mata kemenangan apabila tandukan Khairol Nizam melepasi garisan gelanggang, menjadikan keputusan akhir 15-9 memihak NS Antlers.
Dengan kemenangan ini, Negeri Sembilan Antlers akan bertemu KL Thunder dalam perlawanan akhir STL Champions Cup 2024 untuk merebut gelaran juara pada Ahad.
Selangor Pistons pula akan berentap dengan Perak Bison bagi penentuan kedudukan tempat ketiga dan keempat pada hari yang sama.