PASUKAN bola sepak kebangsaan Thailand, yang kini dalam persiapan menghadapi Piala Asean Mitsubishi Electric (Piala AFF) 2024, terikat seri 1-1 menentang Laos dalam perlawanan persahabatan tier 1 pada ahad malam.
Gol tunggal Thailand dijaringkan oleh pemain muda mereka, Seksan Ratree, namun pasukan Gajah Perang gagal mengekalkan momentum untuk meraih kemenangan.
Dalam sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih Thailand, Masatada Ishii mengakui pasukannya masih memerlukan banyak pembaikan di beberapa aspek penting, khususnya dalam serangan dan pertahanan.
“Dari dua perlawanan persahabatan bulan ini, kami dapat melihat banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Masa semakin suntuk sebelum Piala AFF, jadi kami perlu mencari cara untuk memperbaiki kelemahan ini. Kami mahu memenangi kejohanan tersebut,” katanya.
Ishii turut menegaskan kelemahan dalam permainan bertahan ketika Thailand gagal menambah jaringan walaupun mendahului. Kelemahan komunikasi antara pemain menjadi salah satu faktor Laos berjaya menyamakan kedudukan.
“Kami sentiasa mengingati kepada pemain tentang pentingnya komunikasi di atas padang, terutamanya ketika bertahan.
“Dalam perlawanan ini, kami mendahului tetapi gagal mendapatkan gol kedua. Akhirnya, lawan berjaya mencuri gol penyamaan,” jelasnya dengan nada kecewa.
Walaupun keputusan seri ini mengecewakan, Ishii melihat perlawanan tersebut sebagai peluang untuk memberikan pendedahan kepada pemain baharu, sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang kejohanan utama bulan depan.
Pasukan Thailand kini bersiap sedia untuk menghadapi Piala ASEAN 2024, yang akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.
Dengan keinginan tinggi untuk menjuarai kejohanan tersebut, cabaran besar menanti Ishii dan pasukannya untuk memperbaiki kelemahan sebelum turun ke gelanggang.