PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Tatatertib telah mencapai keputusan mengenai kes tatatertib membabitkan insiden yang berlaku ketika perlawanan Liga Super 2024-2025 antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November 2024.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati pemain Perak, Tommy Mawat Bada dan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi bersalah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play.
Berikutan daripada tindakan ini, kedua-dua pemain akan digantung serta merta melibatkan tiga perlawanan berikutnya selain pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Tommy dikenakan hukuman selepas didapati bersalah atas tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman dalam perlawanan itu.
Dia dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024.
Sementara itu Arif Aiman pula akan digantung tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember 2024.
Arif Aiman didapati bersalah selepas melakukan tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC itu namun kedua-dua pemain boleh merayu atas keputusan ini.