PASUKAN Harimau Malaya, terikat seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang India yang berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad, Isnin malam.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti, menyifatkan keputusan tersebut sebagai adil, meskipun mengakui pasukannya terlepas peluang untuk meraih kemenangan.

“Bagi saya perlawanan ini agak sengit. Di separuh masa pertama, kami bergelut untuk menyesuaikan cara permainan. Separuh masa kedua lebih baik, tetapi secara keseluruhan, keputusan seri ini adil.

“Kami kecewa kerana terlepas beberapa peluang di penghujung perlawanan, namun secara keseluruhan, kami gembira dengan prestasi pasukan,” kata Marti.

Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan kepentingan untuk terus meningkatkan tahap kompetitif pasukan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 tahun hadapan.

“Menentang pasukan seperti India di tempat lawan adalah ujian yang baik. Kami mahu menang setiap perlawanan, tetapi keputusan seri ini tetap memberikan keyakinan. 

“Dengan sedikit tuah dan ketepatan, kami boleh mendapatkan kemenangan pada masa depan,” tambahnya.

Dalam kenyataannya, Marti turut mempertahankan keputusan menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan, yang mengikut peraturan FIFA membenarkan mereka layak bermain setelah lima tahun menetap di Malaysia.

“Hari ini, bola sepak antarabangsa semakin terbuka. Pemain-pemain berpindah ke negara lain, dan ini menjadi realiti untuk hampir semua pasukan kebangsaan. 

“Di Malaysia, jika pemain memenuhi syarat dan kami percaya mereka boleh membantu pasukan, maka mereka layak untuk bermain,” jelasnya.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti

Harimau Malaya kini mengalihkan fokus kepada Kejohanan ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Kejohanan AFF) yang akan berlangsung di Malaysia dalam tempoh dua minggu.

Pau Marti yakin kejohanan tersebut akan menjadi platform penting untuk pasukannya lebih bersedia menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia pada Mac 2025.

“Kejohanan AFF nanti akan memberi kami lebih banyak persediaan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar,” katanya menutup ulasan.