MANCHESTER City kini dikatakan dalam proses untuk mendapatkan pemain tengah Atalanta, Ederson bagi menggantikan tempat Rodri yang terpaksa berehat sehingga penghujung musim ini.
Kehilangan pemain utama mereka, Rodri yang mengalami kecederaan ligamen telah memberi kesan ketara kepada pasukan itu.
Usaha mencari pengganti jangka panjang dilihat sebagai langkah penting untuk mengekalkan momentum kemenangan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut laporan Mundo Deportivo, City bersaing sengit dengan Juventus dan Paris Saint-Germain untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu, yang dilaporkan berharga sekitar €60 juta (RM299 juta).
Namun, laporan tersebut turut menyatakan bahawa City kini berada dalam kedudukan terbaik untuk menandatangani Ederson, yang pernah bermain untuk kelab Brazil sebelum berhijrah ke Eropah.
City masih meneliti keputusan untuk melabur jumlah besar demi menampung kekurangan di bahagian tengah, namun dengan ketiadaan Rodri yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2024, pengganti yang mantap seperti Ederson mungkin mampu memberikan kestabilan kepada pasukan kendalian Pep Guardiola itu.
Sebagai tambahan, Ederson telah mencatat sembilan gol dalam 107 penampilan bersama Atalanta sejak menyertai kelab Itali itu pada 2022, menunjukkan potensi dan ketahanan di bahagian tengah yang diperlukan City.
Manchester City bakal bertemu Tottenham dalam aksi EPL pada Ahad, dan tumpuan pastinya akan diberikan kepada bagaimana pasukan itu menyusun strategi tanpa kelibat Rodri.