PASUKAN Bola Sepak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM FC) secara rasminya dilancarkan dalam satu majlis perasmian di Kuala Lumpur, Selasa.
Biarpun baharu ditubuhkan kira-kira tiga minggu lalu, APM FC sudah menyasarkan laluan lebih jauh untuk menempatkan diri dalam arena bola sepak tanah air, dengan Liga Premier sebagai salah satu sasaran utama.
Pengurus pasukan, Lt. Bersekutu (PA) Mohd Shamsuri Mohd Jamaluddin, menyatakan bahawa meskipun status pasukan ini masih baharu, mereka telah mula menunjukkan potensi melalui beberapa perlawanan persahabatan.
“Alhamdulillah, walaupun baharu genap tiga minggu, pasukan ini sudah mula memberi impak. Kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, dan walaupun dianggap pasukan kerdil, persembahan pemain kami sangat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui media.
APM FC telah memulakan kempen Liga A3 Putrajaya, dengan perlawanan pertama menentang Hospital Putrajaya pada minggu lalu. Bagaimanapun, mereka tewas 2-0 dalam aksi tersebut, dengan cuaca hujan dan persediaan yang belum sepenuhnya rapi menjadi cabaran utama.
“Perlawanan pertama agak mencabar, tetapi kami yakin untuk aksi seterusnya menentang Krissputra PPJ pada 23 November ini. Insya-Allah, kami akan tampil dengan lebih bersedia dan menunjukkan sesuatu,” ujar Mohd Shamsuri.
Menurut Mohd Shamsuri, proses pemilihan pemain melibatkan kerjasama rapat bersama jurulatih berpengalaman.
Pasukan ini memfokuskan kepada mencari pemain berkualiti untuk setiap posisi, dengan latihan yang diadakan di sekitar Putrajaya.
“Kami memberi tumpuan untuk mengasah kemahiran setiap pemain, baik dari segi serangan, pertahanan, mahupun kawalan permainan.
“Selain itu, perlawanan persahabatan digunakan sebagai platform untuk menilai dan meningkatkan prestasi pasukan,” jelasnya.
Walaupun berstatus pasukan kecil, APM FC telah mewujudkan sistem elaun yang merangkumi kehadiran, sesi latihan, dan elaun bulanan bagi pemain. Menurut Mohd Shamsuri, inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada pemain.
“Walaupun peruntukan kami tidak besar, pemain-pemain kami sangat berpuas hati dengan apa yang telah kami sediakan.
“Ini membuktikan komitmen kami untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, APM FC bercita-cita untuk mencontohi kejayaan kelab-kelab seperti UiTM, Felcra, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) yang telah melangkah ke liga lebih tinggi.
“Kami mempunyai misi yang sama untuk pergi lebih jauh. Dengan sokongan jurulatih dan pemain berpengalaman, kami yakin mampu mencapai sesuatu yang lebih baik.
“Insya-Allah, jika ada ruang dan peluang, kami akan terus maju,” kata Mohd Shamsuri penuh optimis.
Dengan misi besar yang didukung oleh semangat pemain dan pasukan pengurusan, APM FC kini dalam perjalanan untuk membuktikan bahawa pasukan kerdil juga mampu mencipta nama di pentas bola sepak tanah air.