KEJOHANAN Bola Sepak Piala Supermokh 2024 edisi kelapan yang telah melabuhkan tirainya pada 19 November 2024 berjaya menyerlahkan bakat-bakat terbaik bola sepak negara yang dikesan melalui mutu perlawanan yang ditunjukkan.
Pengurus Besar Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Muhammad Yusoff Ibrahim berkata, walaupun berdepan beberapa halangan namun semua perancangan berjalan dengan lancar.
“Secara keseluruhannya kami merasa puas hati dengan perjalanan kejohanan yang berlangsung sejak 14 November dan berakhir 19 November 2024.
“Meskipun ada beberapa halangan contohnya keadaan cuaca hujan yang tidak menentu, kesemua perlawanan yang telah di jadualkan dapat berjalan dengan baik.
“Kejohanan ini juga telah berjaya menyerlahkan bakat-bakat terbaik bola sepak negara yang dapat dikesan melalui mutu perlawanan yang ditunjukkan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dari sudut teknikal, persaingan antara pasukan yang bertanding semakin berkualiti dan berintensiti tinggi.
“Kami melihat dan percaya pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan pada edisi kelapan tahun ini telah bersiap sedia sejak awal tahun lagi untuk merebut gelaran kejuaraan.
“Pada masa sama, kita juga mendapat maklum balas mengenai peningkatan penyertaan pasukan yang telah menyatakan minat mereka untuk menyertai kejohanan ini pada tahun hadapan.
“NFDP akan mengambil semua pandangan dari semua pihak yang menyertai kejohanan ini dan akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal NFDP bagi penambahbaikan bagi kejohanan akan datang.
“Tahniah kepada pasukan NFDP A (B12), Zhejiang PFC (B13) dan Akademi JDT yang menjadi juara setiap kategori,” ujarnya.
Pada kejohanan tersebut, skuad NFDP A mempertahankan kejuaraan kategori B-12 tahun manakala dalam saingan B-13, wakil China, Zhejiang PFC muncul juara dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) pula dijulang selaku juara kategori B-14 tahun.