AKSI ‘top of the table clash‘ antara Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya mendapat perhatian dan menjadi perbualan para penyokong dan netizen yang sejak minggu lalu membahaskan tentang kehangatan perlawanan ini.

Menambah bahang pertemuan ini adalah tiket sudah habis dijual 10 hari sebelum hari perlawanan sekaligus menjadikan perlawanan liga pertama yang akan berlangsung dalam kapasiti penuh.

Esok pula pastinya Stadium Likas akan diserbu peminat yang mahu mendapatkan tiket fizikal apabila 3,000 tiket akan dijual seawal jam 10 pagi bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan untuk membuat transaksi perbankan dalam talian.

 

Rata-rata komen di laman sosial memperlihatkan keyakinan para penyokong yang melihat Sabah mampu untuk menjadi pasukan pertama yang akan menamatkan rekod tanpa kalah JDT musim ini dihadapan 30,000 penyokong.

Penyokong setia ‘The Rhinos’, Afandi Samah dari Kota Belud yakin pasukan kesayangannya itu mampu mencipta kejutan menewaskan JDT dan gembira dengan perkembangan pasukan Sabah ketika ini.

Afandi Samah

“Kami berharap Sabah mampu membuat kejutan untuk melakar kemenangan di Likas. Bukan mudah menentang skuad termahal Liga Super dan atas sebab itu tiket perlawanan sudah habis dijual kerana para penyokong mahu memberikan sokongan yang padu.

“Sabah FC juga kini adalah pasukan yang sedang meningkat naik di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dengan semua posisi dilihat baik dengan kemasukan Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali memberi nilai tambah selain pengalaman yang ada pada Amri Yahyah.

“Bahagian serangan juga diharap agar menjadi lebih tajam dengan kehadiran dan pengalaman yang ada pada Baddrol yang dilihat mampu membawa perubahan variasi serangan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Stadium Likas dijangka bergemuruh pada Jumaat ini dan mampukah sorakan padu ini membantu Sabah meneruskan rentak tanpa kalah dalam lima perlawanan liga sejak April lalu.

Manakala JDT pula mahu bangkit selepas diikat Melaka United pada perlawanan terakhir mereka dengan status kecergasan penyerang berbahaya, Bergson Da Silva masih menjadi tanda tanya.