IMPIAN pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia untuk mencipta impak di China Masters 2024 lebur apabila tewas kepada pemain India, Lakhsya Sen dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung sengit pada Rabu.
Kekalahan ini bukan sahaja mengejutkan peminat badminton tempatan, malah menjadi perbualan hangat memandangkan pertembungan tersebut dianggap sebagai ulangan aksi penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, di mana Zii Jia pernah mencatat kemenangan.
Namun, statistik sebelum ini menunjukkan Sen, yang kini menduduki ranking ke-17 dunia, memiliki kelebihan psikologi apabila mencatatkan empat kemenangan dalam enam pertemuan terakhir mereka.
Perlawanan di China Masters kali ini membuktikan dominasi Sen apabila dia sekali lagi berjaya mengatasi Zii Jia dalam pertarungan tiga set.
Aksi dimulakan dengan sengit apabila kedua-dua pemain terikat 3-3 di awal permainan. Bagaimanapun, Sen mula mendominasi selepas itu, meraih enam mata berturut-turut untuk mendahului 11-4 sebelum menamatkan set pertama dengan keputusan 21-14, meskipun Zii Jia berusaha mengejar.
Set kedua menyaksikan kebangkitan Zii Jia yang tampil lebih agresif dan mendahului dengan perbezaan enam mata pada satu ketika. Pemain kelahiran Kedah itu akhirnya memanfaatkan momentum untuk menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-13, sekaligus memaksa permainan dilanjutkan ke set penentuan.
Set ketiga menjadi medan pertempuran sengit apabila kedua-dua pemain saling berbalas mata. Namun, kecekapan Lakhsya Sen dalam menyerang dan bertahan membolehkannya mengawal tekanan sebelum mengakhiri perlawanan dengan keputusan 21-14, 13-21, 21-13 dalam masa 57 minit.
Dengan kemenangan ini, Lakhsya Sen mara ke pusingan kedua dan bakal bertemu pemenang di antara pemain Jepun, Kenta Nishimoto, atau wakil Denmark, Rasmus Gemke.