PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Danish Aiman Zamrul bertekad mempertahankan kedudukan podium Cub Prix Malaysia di Dataran Seri Jempol dari 16 hingga 17 Julai ini bagi saingan Pusingan 5.

Danish telah menampilkan kemahirannya di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini apabila berjaya di tangga pertama bagi kategori Wira KBS.

Dia bukan sahaja konsisten sepanjang latihan bebas, malah juga telah mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan.

“Kejayaan pusingan keempat adalah rezeki saya di kampung halaman saya. Saya hanya memberikan tumpuan sepenuh dan mengekalkan momentum saya di setiap lap.

“Saya juga telah biasa buat latihan di litar Terengganu dan mungkin ia adalah suatu kelebihan bagi saya.

“Bagi pusingan Jempol, saya akan buat yang terbaik untuk mengekalkan kedudukan di podium,” kata pelumba berusia 16 tahun.

Berbanding menghuni tempat kelapan keseluruhan pada musim lepas, Danish menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam prestasinya.

Pada pusingan pertama hingga keempat, Danish telah mempertahankan kedudukannya di tangga tiga teratas.