SAINGAN bola sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2024 menyaksikan sejarah baharu dicipta Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers yang mara ke pentas final buat kali pertama selepas menewaskan Wangsa Maju City FC 1-0 pada aksi separuh akhir pertama yang berllangsung di Arena Azman Hashim HUKM pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan tampak memulakan babak pertama dengan berhati-hati kerana enggan dibolosi jaringan awal yang mampu memberi kesan kepada pasukan hingga hujung permainan.

Namun, Setiawangsa tampak memiliki jentera serangan lebih berkesan di babak pertama apabila Henrietta Justine melakukan hantaran jauh daripada sebelah kiri kawasan lawan yang tepat menemui Muskan Abdul Majid. Muskan kemudian tenang mengawal bola sebelum menewaskan penjaga gol Wangsa Maju City, Nur Amirah Amir pada minit ke-12 bagi membolehkaan Setiawangsa mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan lawan, Wangsa Maju cuba meningkatkan tempo permainan dan menggandakan asakan ke kawasan Setiawangsa dalam usaha mencari jaringan penyamaan di babak pertama.

Pemain sayap kanan Wangsa Maju, Siti Nabila Jamin tampak kerap menguji pertahanan Setiawangsa dengan beberapa gerakan di sebelah sayap kanan yang menyaksikan beberapa hantaran silang dilakukan.

Bagaimana pun, benteng Setiawangsa yang diterajui Amy Mysiza Khmis tampak kekal ampuh mengeudi benteng pasukannya untuk memaastikan lawan tidak berjaya menembusi gawang.

Masuk babak kedua, Henrietta terus menjadi nadi Setiawangsa dalam melancarkan gerakan pasukannya menerusi beberapa hantaran jauh serta umpanan buat Muskan dan juga pemain sayap kanan, K Thurgasini. Namun, benteng Wangsa Maju kekal ampuh bertahan memastikan pasukan mereka tidak dibolosi buat kali kedua pada Sabtu.

Wangsa Maju yang dilatih bekas tonggak pertahanan PKNS FC dan Felda United, Nizam Abu Bakar tampak melakukan beberapa pertukaran taktikal yang berjaya memberi varisasi baharu kepada permainan pasukannya di babak kedua.

Apa pun, Setiawangsa Rangers kendalian Norfaez Alias tetap tenang menangani segala ancaman lawan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

Dalam pada itu, saingan Piala Madani pula menyaksikan Mixstars FC merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Strenen di Arena Azman Hashim untuk melangkah ke pentas final.