KELAB Terengganu FC mengesahkan penamatan kontrak secara bersama antara kelab dan pemain import Croatia, Marin Pilj walaupun masih berada di pertengahan musim liga dan bersaing dalam Piala Malaysia serta Piala Shopee.
Perkara ini disahkan menerusi satu kenyataan rasmi kelab sekaligus Marin menjadi pemain import ketiga yang dilepaskan TFC musim ini selepas turut juga melepaskan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sebelum ini.
“Pemain Tengah Terengganu FC, Marin Pilj dan kelab ini telah mencapai persetujuan bersama untuk penamatan kontrak musim ini. Ia sememangnya satu keputusan yang berat perlu diputuskan oleh kelab untuk melepaskan pemain pada pertengahan musim namun melihatkan keadaan semasa melibatkan pemain tengah itu, keputusan tersebut perlu dilakukan.
“Sebelum ini, pemain ini telah pun menghantar surat permohonan untuk penamatan kontrak secara bersama kerana beliau tidak dapat memberikan fokus atas alasan masalah peribadi kerana tidak dapat menyesuaikan diri berada di sini.
“Ini kerana ianya kali pertama beliau keluar dari Eropah dan berkelana di Asia dan ianya sesuatu yang sangat sukar baginya. Sebelum ini beliau hadir kerana barisan kejurulatihan senegaranya berjaya meyakinkan beliau untuk bermain di liga ini namun apabila kesemua mereka tidak lagi bersama kelab, beliau menyatakan keadaan mental beliau jadi bertambah teruk.
“Dia turut hadir bertemu pengurusan kelab beberapa kali membuat rayuan dan menerangkan keadaannya yang makin tidak stabil dan tidak mampu untuk memberikan komitmen penuh untuk berlatih dan menyertai perlawanan.
“Kelab sebelum ini memberikan ruang buat Marin Pilj untuk cuba hadir dan membuat latihan seperti kebiasaan namun jelas pemain ini tidak dapat memberikan komitmen sepertimana yang diharapkan. Pihak pengurusan kelab melihatkan ianya adalah perkara yang serius kerana ia memberikan impak negatif untuk kedua-dua pihak iaitu pemain dan pasukan dan keputusan segera perlu diputuskan.
“Sehubungan dengan itu, Terengganu FC bersetuju untuk melepaskan Marin Pilj dengan penamatan bersama. Sebelum ini seorang lagi pemain, Matthew Steenvorden memutuskan untuk meninggalkan kelab ini untuk bersama dengan sebuah kelab di liga Croatia kerana bergelut dengan masalah kecederan dan prestasi,” tulis kenyataan itu.
Sejak menyertai Terengganu pada awal musim 2024-25, Pilj melakukan 12 penampilan dan berjaya menjaringkan tiga gol dengan kesemua gol berjaya dihasilkan dalam saingan Piala FA yang mana skuad Penyu layak sehingga ke peringkat separuh akhir.