PENGENDALI sementara Sabah FC, Alto Linus mengakui tugasan yang digalas ini adalah perkara yang sangat mencabar terutama untuk mengekalkan prestasi cemerlang skuad Badak ketika ini.

Alto turut menyatakan ianya mencabar kerana Datuk Ong Kim Swee meninggalkan pasukan ketika sedang berada di kemuncak dan di tahap tertinggi dan ini sudah tentu memberi cabaran besar untuk mengekalkannya.

Namun begitu, dia yakin terhadap kemampuan tahap dan tahap profesional para pemain untuk memastikan prestasi terbaik Sabah FC ketika ini dapat dikekalkan bermula dengan perlawanan timbal balik Piala Malaysia pada Rabu.

“Bagi saya secara peribadi ini bukan tugas mudah berada di sini untuk menggantikan Ong Kim Swee termasuk mengekalkan corak yang diterapkannya kepada semua pemain.

“Tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik kerana saya sendiri pun dididik oleh Kim Swee sekali gus ia bukan masalah besar untuk mengekalkan prestasi jika semua pihak memberikan kerjasama dengan sebaiknya.

“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk mengalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pengurusan dapat direalisasikan,” katanya.

Terdahulu, Sabah FC memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada bagi meneruskan corak latihan serta taktikal sebelum ini dan memastikan prestasi semasa dapat dikekalkan.