KEGAGALAN menyudahkan peluang demi peluang menyebabkan Johor Darul Ta’zim (JDT) berputih mata apabila dikecewakan Shandong Taishan 1-0 dalam aksi kelima Peringkat Liga Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).

Harimau Selatan mengawal perlawanan sejak awal perlawanan dan mempunyai beberapa peluang keemasan pada babak pertama menerusi Jorge Obregon dan Arif Aiman namun gagal menyudahkan untuk beri gol awal.

Obregon berjaya menggegar jaring lawan pada pertengahan babak pertama namun dia terlebih dahulu dikesan ofsaid selepas menerima hantaran baik dari Arif Aiman.

Hector Bidoglio melakukan perubahan dengan membawa masuk Bergson Da Silva dan dia juga mempunyai peluang yang baik namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Shandong Taishan.

Shandong membawa masuk Crayzan, Vaco dan Zeca untuk mengubah corak permainan dan kemasukan mereka berjaya menggerakkan bola ke kawasan JDT sekaligus mengundang bahaya.

Keghairahan JDT mencari gol mengundang padah apabila Zeca yang menerima hantaran Crayzan berjaya melepasi perangkap ofsaid sekaligus menjaringkan gol pada minit ke-69.

Meskipun ketinggalan, JDT terus mengasak namun masih gagal mencari gol penyamaan meskipun membawa masuk Heberty Fernandes untuk menguatkan barisan serangan.

Kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat dan JDT terpaksa menelan kekalahan kedua musim ini di ACL Elite dan kini menduduki tangga kelima dari 12 pasukan dengan tujuh mata.

Keputusan lain menyaksikan Vissel Kobe menewaskan Central Coast Mariners 3-2, Ulsan HD tewas 1-3 kepada Shanghai Port manakala Buriram United tewas 0-3 kepada Kawasaki Frontale.