SKUAD Malayan Tigress memulakan kempen Piala Wanita AFF 2024 dengan langkah kiri selepas tewas tipis 0-1 kepada Indonesia dalam aksi sulung bagi saingan Kumpulan B di stadium Nasional KM16, Vientiane, Selasa.
Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi diasak sejak awal permainan dan menyebabkan para pemain tertekan dengan situasi tersebut.
Serangan bahaya Indonesia seawal minit ke-14 dan ke-28 memberi amaran kepada Malaysia, namun percubaan-percubaan tersebut gagal menemui sasaran.
Walaupun di bawah tekanan, pasukan negara tetap berusaha mencipta peluang dengan percubaan pertama ke arah gawang lawan pada minit ke-30. Namun, rembatan itu mudah ditangkap penjaga gol Indonesia.
Soleen yang membuat pertukaran awal pada minit ke-36, memasukkan Putri Arissa menggantikan Lauren Ruyi, turut tidak berhasil untuk memecah kebuntuan sehingga separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-0.
Memasuki separuh masa kedua, Indonesia sekali lagi menguasai permainan dengan lebih banyak gerakan ke kubu Malaysia.
Penjaga gol negara, Azurin Mazlan beraksi cemerlang apabila berjaya menyelamatkan sepakan kencang pemain Indonesia pada minit ke-76.
Namun, benteng pertahanan Malaysia akhirnya dirempuh apabila pemain gantian Indonesia, Scheunemann, menjaringkan gol cantik pada minit ke-79 yang memecah kebuntuan perlawanan.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia segera bertindak balas dengan melakukan dua pertukaran, memasukkan Rocillyeka Lole dan Farahiyah Ridzuan untuk menggantikan Adrienna Zamzaihiri dan Lyana Soberi.
Perubahan itu menyuntik semangat baharu kepada pasukan negara yang tampil lebih agresif dan hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi beberapa percubaan bahaya.
Namun, masa tidak menyebelahi skuad Malayan Tigress, dan keputusan kekal 0-1 memihak kepada Indonesia hingga wisel penamat.
Malaysia kini perlu mencatat kemenangan ke atas Kemboja pada perlawanan yang akan berlangsung Jumaat ini bagi memastikan peluang mara ke separuh akhir terus terbuka.