PERTEMBUNGAN Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat ini tidak kurang menariknya untuk ditonton peminat bola sepak tempatan.
Berpandukan statistik rekod lapan perlawanan terakhir kedua-dua pasukan, boleh dikatakan seimbang.
TFC bimbingan Nafuzi Zain semakin bersemangat meneruskan aksi saingan Liga Super selepas segar dengan kejayaan mara ke suku akhir Piala FA 2022 menundukkan cabaran Kenari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Empat kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan meletakkan skuad Sang Penyu ini dilandasan tepat meraih lagi tiga mata berharga ke atas Kedah yang seolah-olah tidak ‘bermaya’ terutamanya selepas berhempas pulas terlibat kejohanan Piala AFC di Bali, Indonesia.
Berlainan pasukan Aidil Sharin Sahak itu, hanya satu kemenangan dilakar di gelanggang sendiri selain tewas empat kali.
Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan apabila kedua-dua kelab masing-masing menjana 14 gol.
Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC) Saiful Azrul Che Lah menggesa skuad KDA FC segera bangkit mencari kemenangan dan ambil iktibar kekalahan tempoh hari kepada lawan sama.
“HKC mengharapkan pasukan Kedah bangkit daripada kekalahan kepada Terengganu sebelum ini sambil mengharapkan pasukan mengambil semangat pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha baru baru ini untuk diterjemahkan dalam perlawanan kali ini walau apa pun isu yang berlaku.
“Pasukan Kenari tidak mampu lagi kehilangan mata untuk terus mengejar pendahulu liga.
“HKC tidak pernah meragui keupayaan pasukan dan akan terus menerus memberikan sokongan sepadu mungkin.
“Pulun Kedah Pulun,” ujarnya kepada Flash Sukan.
Jurang mata kedua-dua pasukan hanya dibezakan satu mata dengan KDA FC berada di tangga keempat manakala TFC di kedudukan lima dengan kutipan 13 mata.
Skuad Hijau Kuning dijangka turun membalas dendam dengan beberapa rombakan bakal dilakukan Aidil.
INFO PERLAWANAN