SKUAD B19 Tahun Kebangsaan memberikan khabar gembira dari Bekasi, Indonesia apabila menepati sasaran dengan layak ke perlawanan akhir Kejuaraan AFF B19 Tahun selepas menundukkan Vietnam 3-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi.
Gol-gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh Adam Farhan pada minit ke-26, Haiqal Haqeemi minit ke-70 dan Haykal Danish tiga minit sebelum tamat perlawanan cukup untuk membawa Malaysia ke final.
Vietnam dilihat banyak menguasai permainan namun pemain negara dilihat bertahan dengan cukup berdisiplin sekaligus mengecewakan barisan serangan Vietnam.
Malaysia yang sesekali mengancam kubu Vietnam akhirnya berjaya dihadapan selepas Adam Farhan menjaringkan gol pertama pada minit ke-27 sekaligus menambah keyakinan barisan Hassan Sazali Waras ini.
Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan Vietnam meneruskan penguasaan bola dan Malaysia kental bertahan sambil sesekali melakukan serangan balas.
Taktikal yang diterapkan nyata membuahkan hasil apabila Malaysia menggandakan kedudukan pada minit ke-70 sebelum gol ketiga menerusi serangan balas pada minit ke-87 membunuh semangat para pemain lawan.
Malaysia berjaya layak ke final yang dijadualkan pada Jumaat, 15 Julai dan akan bertemu pemenang di antara Laos atau Thailand yang hanya akan beraksi pada sebelah malam ini.