PASUKAN Bawah 19 Tahun (B-19) Kebangsaan berjaya layak ke final Kejuaraan AFF B-19 Tahun buat kali keempat berturut-turut sejak edisi 2017 dan kini berpeluang untuk mengulangi pencapaian muncul juara pada 2018.
Barisan kendalian Hassan Sazali Waras layak ke final edisi 2022 selepas menewaskan Vietnam 3-0 pada aksi separuh akhir dan kini hanya selangkah untuk memadam kekecewaan selepas tewas di final pada edisi 2019.
Sebagai rekod, ini adalah kali ketujuh Malaysia layak ke final tetapi hanya sekali berjaya bergelar juara ketika dibawah pimpinan ketua jurulatih ketika itu, Bojan Hodak.
Skuad muda negara ini ke final meskipun tidak menunjukkan aksi yang memberangsangkan ketika peringkat kumpulan dengan hanya menduduki tempat kedua di belakang Laos sekaligus menimbulkan keraguan di kalangan para penyokong tentang kemampuan barisan muda ini, namun segalanya dinoktahkan melalui aksi yang cemerlang dan disiplin bertahan yang baik hari ini.
Hassan yang ditemui media sejurus tamat perlawanan berkata mereka sudah mengatasi segala kelemahan yang ada pada peringkat kumpulan dan kini bersedia untuk bertemu sama ada Laos ataupun Thailand.
“Kami berjaya mengatasi segala kesilapan di dalam pasukan dalam masa terdekat serta bantuan video analisis banyak membantu dalam mencapai kemenangan ini.
“Saya sangat gembira kerana taktikal yang disampaikan dapat diterjemahkan oleh pemain. Kita menggunakan taktikal bertahan dan serangan balas dan dengan usaha berpasukan akhirnya kita berjaya menang dengan selesa.
“Saya hanya mempersiapkan pemain dan Malaysia bersedia untuk menempuh dengan sesiapa pun pada perlawanan akhir nanti kerana kedua-dua pasukan ada kekuatan mereka sendiri,” jelas Hassan.
Malaysia kini menanti pemenang di antara Laos dan Thailand untuk satu lagi aksi final yang pastinya mendebarkan Jumaat ini juga di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi.